Pendapatan bersih Hektar Reit meningkat
Hektar Asset Management Sdn. Bhd., Pengurus Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT), mengumumkan keputusan tahunannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (“FY2022”) dengan pendapatan sebanyak RM117.5 juta, peningkatan ketara sebanyak 21.6 peratys berbanding RM96.6 juta bagi FY2021.
Pendapatan yang lebih tinggi disebabkan oleh peningkatan pendapatan sewa, termasuk sewa perolehan yang tinggi, peningkatan pendapatan tempat letak kereta dan penghunian hotel yang lebih tinggi dengan peningkatan dalam kadar bilik purata.
Hektar REIT mencatatkan Pendapatan Hartanah Bersih (NPI) sebanyak RM58.7 juta, peningkatan ketara sebanyak 24.8 peratus berbanding RM47 juta pada tahun sebelumnya.
Pendapatan Bersih Direalisasikan ialah RM36.4 juta, peningkatan ketara sebanyak 187% berbanding tahun sebelumnya.
Hasil dividen bagi FY2022 adalah 11.4 peratus yang lebih tinggi daripada tempoh pra-Covid (FY2019), dengan pulangan tahunan yang mengagumkan sebanyak 60.8 peratus berdasarkan prestasi harga saham.
Nilai Aset Bersih (“NAV”) seunit bagi FY2022 berada pada RM1.27, peningkatan sebanyak sembilan peratus berbanding RM1.16 pada tahun sebelumnya.
Terdapat juga peningkatan ketara dalam nilai saksama Portfolio Pelaburan Hektar REIT sebanyak RM41.6 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management Sdn. Bhd., Johari Shukri Jamil berkata: “Hektar REIT telah menunjukkan kegigihan dan daya tahan yang luar biasa pada FY2022 dan telah bekerjasama rapat dengan penyewa, pembeli dan pihak berkepentingan utama kami.
“Pusat membeli-belah berkembang menjadi tempat yang mengutamakan gaya hidup bagi orang ramai untuk bertemu, bersosial, berinteraksi dan belajar. Kami yakin dan percaya mereka akan kekal sebagai destinasi pilihan hiburan, aktiviti sosial dan membeli-belah di kalangan rakyat Malaysia selagi pusat membeli-belah kami kekal relevan.”
“Fokus kami adalah kepada inisiatif yang akan memberi manfaat kepada pusat beli-belah dan peruncit kami dalam jangka masa panjang melalui pelaksanaan strategi berfokus yang akan membawa peningkatan dalam kedudukan pengunjung dan menggalakkan perbelanjaan pelanggan yang lebih tinggi, menghasilkan kitaran menaik positif yang berterusan dan pertumbuhan mampan.
“Keputusan FY2022 telah menunjukkan bahawa strategi kami menghasilkan hasil yang diinginkan. Bagaimanapun, kami kekal optimistik secara berhati-hati mengenai prospek 2023 memandangkan landskap ekonomi yang tidak menentu didorong oleh dasar monetari yang lemah sebagai tindak balas kepada tekanan inflasi.
“Kami akan terus bekerja lebih keras untuk memberikan pengalaman membeli-belah yang memuaskan kepada pelanggan setia kami dan pulangan mampan kepada Pemegang Unit kami.”