Nasional

Pendapatan 50 pekebun kecil terjejas akibat pencemaran sungai

Sungai berbau busuk, hitam dan menjijikan!
Itulah yang dapat digambarkan mengenai pencemaran yang berlaku hampir enam tahun di sungai Batu, Kampung Paya Rumput Jaya, Tangga Batu, Melaka.

Pencemaran itu telah menjejaskan pendapatan 50 pekebun kecil di kawasan kebun seluas 24.28 hektar yang bergantung kepada sumber air daripada sungai tersebut untuk tanaman mereka.

Ekoran daripada pencemaran tersebut kebanyakkan tanaman yang diusahakan pekebun terbabit musnah dan mereka terpaksa menanggung kerugian yang mencecah RM200,000 setiap bulan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, pekebun mendakwa punca pencemaran sungai berkenaan berpunca daripada pelepasan sisa air pembuangan dari Tapak Pelupusan Sampah Sungai Udang.

Menurutnya, walaupun banyak aduan telah dibuat terhadap syarikat yang menguruskan tapak pelupusan itu sejak beberapa tahun lalu namun tidak ada sebarang tindakan wajar diambil oleh pihak terbabit.


Beliau berkata, banyak tanaman yang diusahakan oleh pekebun terbabit seperti kacang panjang, cili padi, cili merah, sayur-sayuran, pokok pisang dan sebagainya musnah akibat daripada pencemaran sungai tersebut.

“Semua pekebun bergantung daripada sumber air sungai Batu apabila air sungai tercemar dengan berbau busuk, berwarna hitam dan beracun menyebabkan banyak tanaman yang diusahakan musnah.

“Pekebun bergantung hidup daripada tanaman yang diusahakan kerana itu sahaja sumber rezeki mereka untuk menampung hidup.

“Saya juga mendapati tidak ada sumbangan ganti rugi daripada pihak terbabit kepada kesemua pekebun

yang mengalami kerugian. Mereka seolah-olah berkuasa penuh dan boleh bertindak tanpa mempedulikan runggutan daripada pekebun,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika melakukan lawatan ke sungai Batu meninjau pencemaran yang turut dihadiri sebahagian daripada pekebun yang terjejas.

Mohamad Ali berkata, beliau telah meminta kerajaan negeri melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk bertindak segera.

Beliau menegaskan, syarikat berkenaan diberi tempoh selama 14 hari untuk memastikan tiada pencemaran berlaku jika tidak dilakukan, satu tindakan undang-undang akan diambil terhadap syarikat tersebut.

Muhammad Abd. Rahman.

Sementara itu Pengerusi Pekebun-Pekebun Kecil Kampung Paya Rumput Jaya, Muhammad Abd. Rahman, 60, berkata, pencemaran sungai tersebut kerap berlaku tanpa sebarang tindakan diambil sama ada daripada syarikat berkenaan ataupun agensi kerajaan yang lain.

Menurutnya, banyak aduan telah dibuat selain rundingan dijalankan dengan syarikat terbabit namun situasi itu tetap berlaku.

Katanya, bukan setakat tanaman pekebun musnah malah dia yang mengusahakan sawah padi juga turut menanggung kerugian akibat pencemaran tersebut.

“Air yang tercemar dengan bahan kimia menyebabkan banyak pokok tanaman yang diusahakan pekebun dan pesawah mati. Kami adalah petani kekal mengusahakan tanaman daripada tahun 60-an,” ujarnya. – SM

(Visited 37 times, 2 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button