BeritaPendidikan

Pencapaian penyelidikan, inovasi UniMAP meningkat 197 peratus

Pencapaian Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam penyelidikan dan inovasi sepanjang tahun 2020 sangat membanggakan walaupun dalam keadaan negara dilanda pandemik COVID-19.

Hal ini juga menonjolkan kemampuan dan daya saing staf akademik UniMAP dalam penyelidikan, seperti kejayaan besar pensyarahnya memperolehi 237 projek penyelidikan yang keseluruhannya berjumlah RM19.3juta, iaitu peningkatan sebanyak 197% berbanding sasaran yang ditetapkan untuk tahun 2020.

Peningkatan ini banyak dibantu oleh pakej rangsangan penyelidikan dan beberapa inisiatif baru yang telah dilaksanakan, seperti pemberian geran dalaman yang keseluruhannya berjumlah RM1juta.

Kejayaan seramai 104 pensyarah UniMAP yang berjaya memperoleh geran FRGS yang keseluruhannya berjumlah RM10.4juta juga menyumbang kepada peningkatan ini.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyaksikan simbolik penyerahan sumbangan perabot terpakai UniMAP kepada Maahad-maahad Tahfiz di Negeri Perlis yang disampaikan oleh Naib Canselor, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad di perkarangan Maahad Tahfiz Al Hikmah, Padang Siding dekat Arau.

Hadir sama ialah Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin yang berada di Perlis untuk sesi lawatan kerja dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Sementara itu, Badlishah pula memaklumkan bahawa kecemerlangan staf UniMAP dalam penyelidikan dan inovasi pada tahun 2020 ketara dalam aspek perlindungan Harta Intelek. Secara keseluruhannya, sebanyak 29 rekacipta baru berjaya difailkan, enam rekacipta baharu digerankan dan 92 Hak Cipta (Copyright) berjaya didaftar dengan MyIPO.

Di samping itu, satu Utiliti Inovasi dan satu Rekabentuk Perindustrian berjaya dihasilkan. Lebih membanggakan lagi, pencapaian ini adalah yang tertinggi sejak penubuhan UniMAP.

Terdahulu, Ketua Pejabat Naib Canselor UniMAP Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir memaklumkan bahawa sebanyak 298 almari pakaian, 134 buah meja dan 323 buah katil akan mula diagihkan oleh pihak universiti kepada Maahad Tahfiz-maahad Tahfiz dan Sekolah-sekolah Agama di bawah seliaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) secara berperingkat mulai bulan hadapan.

Tambah beliau, penyerahan perabot terpakai kepada maahad tahfiz dan sekolah agama di negeri Perlis tersebut adalah atas cetusan idea Tuanku Raja Muda Perlis selaku Tuanku Canselor dan ianya juga dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif University Corporate Social Responsibility (UCSR) selaras dengan tema universiti iaitu ‘Kejuruteraan dan Teknologi Untuk Masyarakat’.

(Visited 346 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button