PRK

Pemuda PH guna pendekatan bersemuka dekati pengundi muda

PEMUDA Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan pendekatan tersendiri dengan bersemuka dengan pengundi muda. Ini bagi memastikan kemenangan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Jan ini.

Ketua Pemuda PH yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata terdapat kira-kira 6,000 pengundi muda di bawah umur 35 tahun di Parlimen Kimanis.

Katanya, mereka perlu didekati bagi mengetahui aspirasi dan permasalahan mereka.

“Pemuda PH akan gempur untuk berjumpa mereka dengan pelbagai pendekatan antaranya rumah ke rumah, warung ke warung, pejabat ke pejabat untuk memahami permasalahan mereka.

“Beri khidmat sebaik mungkin…kita ingin memperkasa politik khidmat supaya akhirnya anak muda lihat kita ini mendengar dan cuba selesaikan masalah mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Jentera Pemuda PH bagi PRK Parlimen Kimanis, hari ini.

Turut hadir, calon Warisan Datuk Karim Bujang dan Ketua Bahagian Bersatu Kimanis Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

PH merupakan rakan sekutu Warisan di Sabah bersama sebuah lagi parti tempatan, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu dengan Warisan diwakili Karim yang ditentang calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 18 Jan, manakala pengundian awal pada 14 Jan bagi PRK ini, melibatkan 29,664 pemilih berdaftar.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata pendekatan seumpama itu bukanlah baharu dan tidak hanya ketika pilihan raya, sebaliknya sudah digunakan sebelum ini, sesuai dengan tanggungjawabnya sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Katanya sebagai menteri, sebelum PRK ini, beliau sudah tiga kali datang ke Parlimen Kimanis termasuk mengadakan sesi ‘town hall’ di Membakut pada tahun lepas.

Beliau berkata beberapa perkara mengenai pembangunan belia di kawasan Parlimen Kimanis perlu diberi perhatian, termasuk berkaitan isu akses kepada pendidikan, kos sara hidup, perumahan serta berhubung sukan dan belia.

Dalam pada itu, Syed Saddiq meminta ahli Pemuda PH di Sabah supaya tidak terlalu yakin bagi menghadapi pilihan raya kecil tersebut, walaupun Warisan adalah parti pemerintah di negeri ini.

“Kita perlu kerja keras. Lakukan kerja dengan ikhlas dan pergi jumpa seramai pengundi muda yang boleh, dengar masalah mereka,” katanya. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button