Pemindahan hak milik hotel TH akan dikenang hingga ke liang lahad
PEMINDAHAN hak milik empat hotel Tabung Haji (TH) merupakan satu pengkhianatan besar kepada umat Islam di negara ini.
Bekas Timbalan ketua Dewan Ulama Pas Selangor, Ahmad Dusuki Abd Rani menganggap perkara itu sebagai tidak logik dan akan sampai bila-bila.
Katanya, aset-aset TH itu merupakan harta orang Islam, dan orang yang melakukannya perlu menanggung perkara itu hingga ke liang lahad.
“Tengok bagaimana jahatnya yang dilakukan ini. Kamu kena tanggung sampai di akhirat, Jangan main-main… harta orang Islam kan ni?
“Ini, kalau orang sebut, sampai masuk dalam kubur orang sebut. Orang sebut sampai masuk dalam kubur,” katanya seperti yang dipetik melalui rakaman di saluran YouTube.
Kenyataan Ahmad Dusuki itu dipercayai merujuk kepada pemindahan milik empat hotel TH kepada Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB).
Aset terbabit ialah TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Pulau Pinang, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu.
Namun dalam rakaman tersebut Ahmad Dusuki tidak menyebut sebarang nama atau merujuk kepada sesiapa.
BERITA BERKAITAN:Empat hotel TH di bawah UJPM: 90 peratus staf tidak dibuang
BERITA BERKAITAN:TH lupuskan rangkaian hotel kerana tidak menguntungkan
TH dalam kenyataan baru-baru ini memaklumkan, operasi empat rangkaian hotel miliknya dipindah milik kepada anak syarikat Kementerian Kewangan, iaitu, Urusharta Jamaah Property Management Sdn Bhd (UJPM) mulai April.
Pengambilalihan operasi dan perkhidmatan rangkaian hotel oleh UJPM itu merupakan sebahagian daripada pelan pemulihan semula dan penstrukturan institusi tersebut.
Menurut TH, langkah itu bagi memenuhi mandat yang diberikan untuk mengurangkan komitmen kerajaan.
Empat hotel THHR yang terlibat adalah di TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Pulau Pinang, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu.
BERITA BERKAITAN: Empat rangkaian hotel TH ditutup, TH nak lingkup?
TH menjelaskan semua hotel itu akan dikenali dengan Raia Hotel dan kekal dengan dengan konsep patuh syariah.
Hartanah terbabit adalah sebahagian daripada pemindahan aset 29 aset hartanah TH, yang mempunyai nilai semasa sebanyak RM9.63 bilion pada hari pemindahan.
TH juga berkata tiada kakitangan akan diberhentikan kerja. Bagaimanapun 10 peratus pekerjanya akan diserap oleh hotel TH di Kelana Jaya, Petaling Jaya.