Pemikiran BN, UMNO mesti selari dengan pengundi muda – Ismail Sabri
Rentak pemikiran Barisan Nasional (BN) terutama UMNO tidak boleh berbeza dengan pengundi muda jika berhasrat meraih undi majoriti golongan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, UMNO sebaliknya mesti menyesuaikan corak berfikir mereka menyedari hakikat golongan terbesar itu mempunyai pengaruh tersendiri.
Malah, katanya, hanya dengan langkah tersebut dapat menentukan pola pengundian dalam pilihan raya umum sekali gus memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan sedia ada.
“Kalau undi muda, memang dari dahulu BN… cara kita membuat hubungan secara terus dengan orang muda. Kita memahami aspirasi mereka, bersama dengan mereka dan sealiran pemikiran dengan mereka. Insya-Allah mereka boleh bersama kita kerana kita tahu orang muda pemikiran mereka berbeza dengan kita.
“Tetapi kita mesti tidak boleh berbeza dengan mereka dari segi aliran pemikiran dan itu sahaja boleh membuat kita boleh engage mereka untuk memahami mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran Mindef Prihatin di Wisma Pertahanan, di ibu negara hari ini.
Timbalan Perdana Menteri itu mengulas soalan pemberita berkenaan laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini tentang 5.94 juta pemilih dalam kumpulan umur 21 hingga 39 tahun yang diwartakan setakat 24 Mei lalu. Dalam laporan hari ini, jumlah terbesar itu dijangka menjadi penentu hala tuju politik negara pada PRU15 akan datang.
Berdasarkan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) suku pertama tahun ini, terdapat pertambahan kira-kira setengah juta pengundi baharu menjadikan keseluruhan 15,361,052 pemilih yang layak mengundi jika pilihan raya diadakan pada tahun ini.
Malah, jika pendaftaran secara automatik pengundi 18 tahun dilaksanakan, seramai 7.8 juta pengundi baharu akan muncul sehingga penggal Parlimen tamat pada 2023 yang secara keseluruhan merekodkan 23 juta orang pengundi berdaftar.
Menyentuh soal itu, Ismail Sabri bagaimanapun berkata, pendaftaran undi 18 tahun secara automatik masih belum selesai.
“Dalam Perlembagaan yang kita (kerajaan) pinda adalah pengundi didaftarkan secara automatik jadi sekarang ia belum lagi selesai. Difahamkan, SPR belum selesai lagi untuk proses pengundian automatik,” katanya.
Mac lalu, Utusan Online melaporkan, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim sebagai berkata, kelayakan mengundi di usia 18 tahun yang sepatutnya berkuat kuasa bulan ini tidak dapat diteruskan walaupun Dewan Rakyat sudah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.
Ini kerana pelbagai kekangan ke arah pelaksanaannya sebelum negara benar-benar bersedia membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu.
Pengundi 18 tahun merupakan cetusan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertujuan meningkatkan pendidikan politik dalam kalangan anak muda sekali gus menyaksikan landskap politik negara ke arah pro anak muda. – UTUSAN