Nasionalpilihan

Tiga individu pakai ‘gelang pink’ ke farmasi diburu

POLIS sedang memburu tiga individu yang memakai gelang pink dan pergi ke farmasi di Puchong Perdana dalam gambar yang tular di media sosial pada 16 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pasukan Task Force Pematuhan dan Pemantauan Opd Covid-19 IPD Subang Jaya kemudian telah membuat pemeriksaan ke farmasi tersebut.

“Hasil temubual bersama penyelia farmasi, kejadian didapati berlaku pada 15 Julai lalu kira-kira pukul 11.20 pagi di mana terdapat seorang lelaki masuk ke dalam farmasi tanpa mengimbas MySejahtera dan memakai gelang pink.

“Lelaki itu hadir untuk membeli ubat manakala dan terdapat dua lagi individu iaitu seorang lelaki dan seorang wanita sedang menunggu di luar premis,” katanya.

Menurut Abd Khalid, lelaki yang masuk ke dalam farmasi itu kemudian telah dimarahi dan diarahkan keluar oleh pekerja farmasi.


Ekoran itu, jelasnya, empat pekerja farmasi yang sedang bertugas pada hari tersebut telah diarahkan menjalani kuarantin kendeiri di rumah masing-masing sebelum diminta melakukan ujian saringan Covid-19.

“Siasatan awal mendapati tiga individu tersebut telah melanggar arahan kuarantin yang dikeluarkan oleh KKM dan usaha mengesan mereka diteruskan sehingga kini.

“Kita juga telah mengeluarkan kompaun ke atas farmasi tersebut di bawah kesalahan Peraturan (16) PPPPB No. 3 2021 kerana gagal memastikan hanya pelanggan dengan status ‘Low Risk’ dalam MySejahtera sahaja yang dibenarkan masuk ke dalam premis,” katanya.

Tambahnya, siasatan kini dijalankan di bawah Sesyen 270 Kanun Keseksaan dan 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB). -SM

(Visited 73 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button