Ekonomi

Pemegang francais jenama IKEA di Asia Tenggara dan Mexico catat kenaikan perolehan 3.3%

IKANO Retail, iaitu pemegang francais jenama IKEA yang membawa kelengkapan rumah ala Sweden ke Malaysia dan tiga pasaran lain, mencatatkan perolehan sebanyak RM 3.6 bilion pada tahun kewangan lalu, bersamaan dengan kenaikan sebanyak 3.3% dalam tempoh setahun yang menyaksikan impak COVID-19 terhadap perniagaan pusat beli-belah syarikat berkenaan.

“Kami bukan sahaja kehilangan 17% hari perniagaan kami, tetapi juga menghadapi cabaran bekalan yang terburuk dalam sejarah dan sekatan terhadap operasi makanan kami dan sebagainya,” kongsi Ketua Pegawai Eksekutif Ikano Retail, Christian Rojkjaer.

“Walaupun berhadapan dengan pandemik, kami telah melaksanakan pelan pengembangan, meningkatkan jualan e-dagang sebanyak 57% dan mengekalkan pekerjaan kakitangan kami. Yang paling penting ialah kami terus membantu pelanggan menaik taraf kehidupan di rumah.”

Ikano Retail memiliki portfolio yang terdiri daripada 11 gedung IKEA serta 5 pusat beli-belah utama IKEA, dan beroperasi di Malaysia, Singapura, Thailand dan Mexico. Syarikat ini merupakan salah satu daripada 12 francais IKEA di seluruh dunia, dan perolehan daripada semua gedung IKEA di bawahnya menyumbang kepada jumlah jualan yang bakal dilaporkan pada Khamis (1300 CET) ini oleh francaisor IKEA global, Inter IKEA Group.

Sebahagian besar pertumbuhannya datang daripada Singapura dan Mexico di mana syarikat berkenaan telah melancarkan gedung-gedung IKEA baharu. Di Singapura, Ikano telah melancarkan IKEA Jurong, iaitu gedung IKEA ‘format kecil’ pertama di Asia Tenggara, yang menawarkan rangkaian produk lengkap melalui penyelesaian digital dan rakan sekerja yang mahir.

Di Bandar Raya Mexico pula, Ikano telah melancarkan gedung IKEA pertama di Amerika Latin dan mencatatkan hampir 15 juta kunjungan ke gedung IKEA Oceania serta ke laman web rasminya.

Ikano juga menceburi perniagaan pengubahsuaian dan reka bentuk rumah, dengan penubuhan IKEA Planning Studio baharu di Thailand dan Singapura.

Selain itu, Ikano juga melancarkan semula IKEA untuk Perniagaan di Asia Tenggara bagi membantu perusahaan kecil menyediakan penyelesaian pejabat, kedai dan sebagainya yang menampilkan inspirasi sentuhan ala Sweden.

Memasuki tahun kedua pandemik COVID-19, ramai telah bergantung pada IKEA untuk membina ruang kerja, bilik permainan dan dapur. Dalam pada itu, gedung-gedung IKEA telah menjual lebih 5 juta mangkuk dan pinggan daripada rangkaian OFTAST, termasuk 2.7 juta unit di Malaysia sahaja.

Ikano juga telah melabur untuk menjamin kesinambungan Pusat-pusat Ikano di Malaysia dan Thailand, dengan menyokong penyewa-penyewa kami untuk mengharungi tempoh mencabar ini serta memperoleh kadar sewa yang sihat sebanyak 92% di landskap peruncitan yang mencabar.

“Kami memastikan pusat-pusat kami terus menjadi tempat pertemuan bagi orang ramai, serta menawarkan tempat bersantai yang selamat dan menyeronokkan ketika ekonomi dibuka semula, sambil kita belajar untuk hidup dengan COVID-19,” demikian kata Rojkjaer.

Ikano Retail merancang untuk membuka gedung IKEA yang terbesar di dunia di Filipina, di mana ia telah melancarkan operasi e-dagang baru-baru ini.

Di samping itu, ia turut merancang untuk melebarkan sayap ke Vietnam pada tahun-tahun akan datang.

(Visited 564 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button