Ekonomi

Pemangku Raja Perlis titah supaya kegiatan di Padang Besar lebih mesra pengunjung

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu setiap aset dan kekuatan yang beroperasi di pekan Padang Besar secara keseluruhannya hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjadikan kawasan ini lebih mesra pengunjung atau ‘Customer Centric’.

Demikian titah Baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Plaza Niaga Padang Besar dan Majlis Jamuan Teh Kasih Rakyat Menjunjung Daulat di Padang Besar (Utara), Perlis.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda sulung Baginda berdua, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Keberangkatan Baginda disambut oleh Pengurus Besar PKENPs, Nor Saike Kassim.

Majlis tersebut dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dengan kerjasama Kerajaan Negeri, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Syarikat Bakau Jaya Development Sdn Bhd yang dimiliki oleh PKENPs dan MPK.

Dalam titah Tuanku Pemangku Raja, Baginda menyeru agar pihak berkuasa tempatan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengambil pendekatan penyuraian trafik dan pengurusan parkir yang sistematik khususnya di kawasan tumpuan di Padang Besar bagi mengatasi kesesakan lalu lintas terutamanya pada musim cuti perayaan serta papan tanda yang jelas juga hendaklah dipasang. Langkah- langkah ini secara tidak langsung selain memudahkan para pengusaha, memberikan kelegaan terutamanya pengguna pengangkutan awam dan pengunjung dari luar Perlis.

Baginda bertitah, Padang Besar berpotensi tinggi sebagai ‘One Stop Centre’ untuk pelbagai barangan termasuklah barangan isi rumah, makanan dan minuman, pakaian, barangan sukan, aksesori kenderaan dan bermacam lagi bagi sektor perdagangan antara negara sempadan. Peluang ini perlu digunakan sebaiknya terutamanya oleh anak-anak muda dan masyarakat setempat untuk berniaga dan mencari rezeki berfokus dalam sektor pelancongan.

“Pengusaha produk tempatan disarankan untuk meningkatkan lagi tahap produk keluaran dan barangan yang dijual di Padang Besar ini bagi memastikan ianya berkualiti dan secara tidak langsung dapat menarik minat pembeli dan berkunjung semula. Setiap pengusaha juga perlu memastikan makanan bersih dan enak serta barangan yang dijual haruslah setanding atau berpatutan dan tidak terlalu mahal terutamanya pada musim cuti umum dan cuti sekolah”, titah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi.

Tuanku Pemangku Raja turut menyeru agar rakyat Perlis dapat mengambil segala peluang bagi meningkatkan lagi pendapatan melalui segala kemudahan infrastruktur dan prasarana yang telah disediakan oleh pelbagai jabatan dan agensi untuk menjana ekonomi dan meningkatkan lagi taraf hidup masing-masing.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button