Negeri

Pemangku Raja Perlis ketuai Program Kayuhan Berinformasi

Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengetuai ‘Program Kayuhan Berinformasi’ sempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah Peringkat Negeri Perlis bagi Tahun 2024.

Program yang dianjurkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis itu disekalikan
dengan aktiviti Kayuhan MAIPs Peduli bermula dan berakhir di perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Abi dan melalui kawasan sekitar Kampung Kubang Badak dan singgah di beberapa ‘checkpoints’ yang melibatkan klien AADK Perlis dan rumah-rumah asnaf terpilih.

Keberangkatan baginda diiringi oleh Anakanda Bongsu, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail diiringi sama oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK yang juga merupakan Pemangku Ketua Pengarah AADK, Shobah Jamil dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Khairul Anwar Bachok.

Menurut Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perlis, Mohamad Zakhi Farkhi Ahmad, program ini telah dianjurkan oleh AADK Perlis bertujuan untuk mengingatkan masyarakat serta mengukuhkan komitmen dan tanggungjawab semua pihak dalam memerangi ancaman najis dadah dan bahananya

Selain program berbasikal, pelbagai aktiviti lain juga telah dijalankan termasuklah acara sukan rakyat, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, pameran bas bergerak AADK, pameran perkhidmatan pelbagai agensi Negeri dan Persekutuan serta jualan produk Sokongan Untuk Kepulihan Anda (SUKA) AADK diadakan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Perlis (MAIPs) berkenan singgah menyampaikan bantuan dari MAIPs kepada Nazri Hamid, 56 tahun dari Kampung Syed Omar, Mohd Faiz Abdullah, 32 tahun dari Kampung Nesam dan Azroy Shah Alias, 38 tahun dari Kampung Guar Sabun.

Asnaf-asnaf yang terpilih pada edisi kali ini tersebut menerima wang tunai RM 700, Kits MAIPs Peduli serta beras fidyah yang merupakan sebahagian daripada usaha MAIPs untuk terus menyalurkan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik di negeri Perlis.

Tuanku Pemangku Raja turut meluangkan masa melawat Asrama Lelaki SMK Abi yang mempunyai pelbagai kemudahan menarik disediakan khusus untuk penghuninya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button