Nasional

Pemangku Raja Perlis berkenan terima mengadap Kuasausaha Sementara Kedutaan Afghanistan

Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima kunjungan hormat Kuasausaha Sementara Kedutaan Besar Afganistan di Malaysia, Naqibullah Ahmadi dan Pegaeai Teknikal di Kedutaannya, Shaiq Ahmed.

Ia berlangsung di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail (MTSPJ), Kangar sempena Majlis Sumbangan Agihan Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada seramai 140 orang asnaf terpilih iaitu kepada 70 orang dari kariah MTSPJ dan 70 orang lagi dari kariah Repoh.

Masing-masing menerima wang tunai RM700, saringan kesihatan secara percuma oleh Jabatan Kesihatan Negeri dan ceramah bertemakan “Bangun Jiwa Asnaf” dari pihak MAIPs yang bertujuan untuk memberi semangat dan input untuk asnaf keluar dari belengu kepompong kemiskinan.

Naqibullah berada di Perlis sempena lawatan kerja dan bertukar-tukar pendapat berkenaan hal ehwal Agama Islam dan juga kemasyarakatan di Afghanistan dan Perlis. Beliau turut menyaksikan sendiri bagaimana keprihatinan dan penglibatan Baginda Tuanku dalam menyantuni dan mengambil berat akan nasib golongan yang kurang bernasib baik di negeri Perlis ini.

Tuanku Pemangku Raja Perlis merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs selepas itu mengingatkan semua bahawa kita sebagai saudara seakidah dan seagama, perlu merasa sensitif atas penderitaan yang dialami oleh saudara-saudara kita di Palestin, kerana antara tanda iman seseorang Muslim itu ialah cintakan saudara seagama.

‘Alhamdulillah di Perlis seluruh masjid masih membacakan qunut nazilah pada setiap solat fardhu dan kita berharap agar Allah Subhanahu Wa Taala akan memberikan kemenangan kepada mereka’, tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button