Luar Negara

Pemandu Lamborghini acu pistol terhadap dua pelajar

Diejek "Wah! Ini mesti kereta boss kau!"

DIEJEK dengan kata-kata, “Wah! Ini mesti kereta bos kau!,” oleh dua pelajar sekolah, seorang lelaki yang memandu kereta mewah jenis Lamborghini bertindak keterlaluan dan di luar batasan.

Lelaki itu yang dikenali dengan panggilan Am, dikatakan tidak berpuas hati terhadap sindiran dua pelajar sekolah menengah itu, bertindak keluar dari keretanya dan mengacukan pistol ke arah pelajar- pelajar berkenaan.

Dalam kejadian yang berlaku pada Sabtu lalu itu, memetik laporan Astro Awani, lelaki itu sedang melalui satu kawasan di Kemang, Jakarta Selatan sambil memandu Lamborghini jenis Gallardo berwarna jingga.

Setibanya di satu lintasan pejalan kaki, dua pelajar yang sedang menyeberang jalan di hadapan keretanya itu bertempik: “Wah, ini mesti kereta bos kau!”

Pemandu terdengar teriakan itu lantas keluar dari keretanya dan melemparkan kata-kata kesat kepada dua pelajar berkenaan, lapor portal berita Kompas.

Ketika dua pelajar itu segera meninggalkan lokasi itu, Am tetap tidak puas hati dan memaksa mereka berhenti sambil mengacukan senjata api jenis Caliber 32.

Ketua Pegawai Perhubungan Masyarakat Polis Daerah Metro Jaya, Yusri Yunus, berkata, pemandu itu kemudiannya melepaskan tiga das tembakan ke udara untuk memastikan pelajar-pelajar itu menurut arahannya.

“Dia menyuruh dua pelajar itu berhenti, tetapi tidak dipedulikan. Lalu dikeluarkan senjatanya dan satu tembakan dilepaskan.

“Kemudian, dia mengejar mereka lalu dilepaskan tembakan yang kedua.

“Tembakan ketiga dilepaskan ketika dia mengarahkan pelajar itu duduk bercangkung tetapi tidak dituruti,” ujar Yusri.

Dua pelajar berkenaan yang tidak berpuas hati dengan keangkuhan Am, membuat laporan polis.

Polis bertindak pantas dan berjaya menahan suspek.

Polis turut merampas senjata api Caliber 32, tiga kelongsong peluru yang telah ditembak dalam insiden tersebut dan sembilan butir peluru aktif.

Selain berdepan pertuduhan di bawah undang-undang yang memungkinkan dirinya menjalani hukuman setahun penjara, Am juga kehilangan hak pemilikan senjata apinya itu. Kereta Lamborghininya juga disita.

Hasil ujian air kencing menunjukkan suspek positif ganja. – SM

(Visited 382 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.
Back to top button