Politik

Peluang BN rampas semula Parlimen Hang Tuah Jaya

KEKALAHAN Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin bagi jawatan Ketua Cabang bahagian itu dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi peluang BN merampas kembali kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Veteran UMNO Melaka, Datuk Ashari Ibrahim berkata, kekalahan Shamsul Iskandar itu memberi petanda kerusi yang pernah dimenangi BN menerusi Datuk Md. Sirat Abu pada 2008 mampu dijelmakan dengan kemenangan selepas dua penggal tewas kepada calon PKR itu.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek itu menegaskan, UMNO perlu mengambil peluang tersebut dan memilih calon muka baharu yang berwibawa untuk memastikan BN kembali memenangi kerusi itu dalam PRU-15 nanti.

Selain Hang Tuah Jaya kata beliau lagi, BN dijangka berpeluang cerah untuk merampaskan kembali kerusi Parlimen Tangga Batu, Alor Gajah, serta mengekalkan semula Masjid Tanah yang sebelum ini milik UMNO yang sebelum ini calonya, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin melompat menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Di sebalik kemelut dalaman parti yang berlaku sekarang, tidak mustahil peluang BN untuk merampas kembali tiga kerusi yang tewas pada Pilihan PRU-14 dan diterjemahkan seperti kejayaan dalam PRN
Melaka.

“Rakyat di negeri ini yakin dengan BN kekalahan pada PRU-14 sebenarnya jadi pengajaran. Selain itu
jentera parti pula sudah bersedia selepas bertungkus lumus memastikan 21 daripada 28 kerusi dimenangi pada PRN Melaka,” ujarnya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Veteran UMNO Bahagian Tangga Batu yang telah dirasmikan Ketua Bahagian, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad di Baitul Tariq, malam tadi.

Mengulas lanjut Ashari berkata, momentum kemenangan BN dalam tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) lalu
selain merampas Melaka dan Johor sudah membuktikan rakyat kembali yakin untuk memilih BN berbanding Pakatan Harapan (PH).

Katanya, pergeseran dalam parti itu ketika ini dilihat tidak menjejaskan momentum rakyat yang mahukan BN kembali memerintah bagi mengembalikan kestabilan politik negara.

Jelasnya, Veteran UMNO Melaka yang mempunyai keahlian seramai 20,000 orang akan turun padang untuk membantu calon-calon yang akan bertanding pada PRU-15 nanti.

“Sebahagian kita ada pengalaman sebagai wakil rakyat, duduk di cawangan serta bahagian serta tiada
masalah untuk berjuang kembali demi suvival UMNO sendiri,” ujarnya.

Tambahnya, semua anggota parti sama ada parti komponen perlu bersatu dan menerima individu yang akan dipilih menjadi calon kelak. – SM Melaka

(Visited 337 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button