Ekonomi

Pelbagai pihak perlu gembeleng tenaga majukan industri pertanian – Pemangku Raja Perlis

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Semua jabatan dan agensi perlu berganding bahu dalam menyalurkan perkongsian ilmu pengetahuan bagi sektor yang berkaitan dengan industri petanian. Para petani, peladang, penternak dan nelayan pula perlulah menyahut segala peluang dan ruang yang diberikan supaya mendapat manfaat dan mampu meningkatkan produksi dan penghasilan harian masing-masing.

Baginda bertitah, minat dalam sektor pertanian ini juga perlu dipupuk melalui aktiviti atau hobi yang boleh dilakukan bagi mengisi masa lapang di samping membantu dalam meningkatkan hasil pengeluaran makanan dan mengurangkan kadar kebergantungan import. Bagi kalangan pelajar pula, jabatan atau agensi boleh membantu pihak sekolah bagi menerapkan ilmu tanaman supaya dapat menerapkan minat dalam bidang ini untuk dijadikan sumber pengeluaran makanan.

Tuanku Pemangku Raja menyeru agar pemain di sektor pertanian meneroka teknologi yang ada seperti dron untuk menyembur baja secara tepat untuk meningkatkan lagi hasil tanaman di mana dron dapat menganalisis keadaan tanah dan menentukan pola penanaman serta dapat mengesan hama penyakit seiring dengan peredaran masa sekarang di mana semua maklumat dan capaian hanya dihujung jari.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) tahun 2024 bagi peringkat Negeri Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar.

Baginda diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyampaikan Anugerah Khas Tokoh HPPN Perlis kepada Azimah Ahmad yang mengusahakan tanaman padi, ternakan lembu dan ternakan kambing serta beberapa pengurniaan anugerah lain termasuklah Anugerah Pertubuhan Peladang Jaya, Anugerah Peladang Jaya lelaki, Anugerah Peladang Jaya Wanita, Anugerah Unit Peladang Jaya, Anugerah Penternak Jaya, Anugerah Persatuan Nelayan Jaya dan Anugerah Nelayan Jaya.

Anugerah yang seterusnya adalah Penternak Ikan Jaya, Anugerah Siswazah Pertanian & IAT Jaya, Anugerah Kumpulan Tani Komersial Jaya, Anugerah Wanita Jaya, Anugerah Inovasi Pertanian IAT Jaya, Anugerah Usahawan Integrasi Jaya serta Anugerah Agropreneur Muda.

Tuanku Pemangku Raja Perlis turut menyeru agar para pengusaha membangunkan projek pertanian yang diusahakan untuk dijadikan lokasi bagi program Agro Pelancongan di Negeri Perlis ini sempena kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 ini.

(Visited 29 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button