Negeri

Pelawat ke Sarawak perlu mohon ‘EnterSarawak’, lampir RT-PCR

MULAI hari ini semua pelawat yang masuk ke Sarawak dari Sabah dan Labuan perlu memohon untuk memasuki negeri itu dengan menggunakan aplikasi telefon pintar “EnterSarawak” dan melampirkan keputusan saringan “Reverse Transcript – Polymerase Chain Reaction” (RT-PCR) sebelum tarikh perjalanan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam satu kenyataannya memberitahu, peraturan itu adalah salah satu keputusan yang diambil ekoran peningkatan kes Covid-19 di Sabah sejak kebelakangan ini.

“Mereka juga akan diberi pas masuk terhad selama lima hari di Sarawak. Mereka juga perlu melampirkan tiket penerbangan balik bersama-sama dengan pas masuk” kata kenyataan itu.

Penumpang yang gagal melampirkan keputusan saringan  RT-PCR mereka  sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tarikh perjalanan tidak akan dibenarkan memasuki Sarawak.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, bagi seluruh rakyat negeri Sarawak, pemastautin tetap dan pemegang pas visa negeri itu yang merancang untuk melakukan perjalanan, mereka juga perlu akur dengan peraturan yang telah ditetapkan.

Sama juga, mereka perlu melengkapkan butir permohonan di aplikasi “EnterSarawak” dan  menjalani kuarantin selama 14 hari, katanya.

Mereka juga perlu memakai gelang  tangan serta menjalani ujian RT-PCR pada hari kedua dan ke-10 kepulangan mereka.

Menurut kenyataan itu lagi, pelawat yang kerap melakukan perjalananan antara Sabah, Labuan dan Sarawak  termasuk mereka yang terlibat dalam perkhidmatan penting perlu memohon pas khas daripada mana-mana jawatankuasa pengurusan bencana bahagian di dalam negeri ini.

Kategori pelawat daripada tiga kategori ini perlu menjalani saringan RT-PCR setiap 14 hari dan kegagalan melakukannya akan mengakibatkan pembatalan pas itu.

“Semua warganegara dan warga asing yang memasuki Sarawak perlu mengisytiharkan sekiranya mereka telah berada di Sabah atau Labuan dalam tempoh 14 hari lepas.

“Sekiranya mereka membuat pengisytiharan palsu, mereka akan dikenakan tindakan di bawah Ordinan Perlindungan Kesihatan Awam 1999,” ujar kenyataan itu. – SM

(Visited 60 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button