Nasional

Pelanggan tidak perlu buat permohonan Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan – TNB

PENGGUNA tidak perlu membuat sebarang permohonan berhubung diskaun yang diberikan melalui Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan oleh Kerajaan dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurut Ketua Pegawai Retail TNB, Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan, pihaknya akan memperkenalkan penyata terperinci bagi Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan yang bermula dari April hingga Julai kepada pelanggan.

“Untuk memberi penjelasan lanjut berhubung diskaun TNB memperkenalkan penyataan terperinci bagi bantuan prihatin elektrik yang bermula daripada bulan April sehingga Julai.

“Kita akan berikan juga jumlah keseluruhan Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan daripada April sehingga Julai 2020,” katanya dalam program AWANI Pagi terbitan Astro AWANI, hari ini.

Mengulas lanjut, Megat berkata, terdapat sedikit perubahan yang akan berlaku dalam operasi pembacaan meter bagi bulan Julai.

Jelasnya, pembaca meter masih akan ke premis untuk membuat bacaan namun dapatannya akan dibawa pulang ke pejabat bagi tujuan pemprosesan sebelum penyata terperinci berserta bil bagi bulan Julai diposkan kepada pelanggan.

“Pelanggan akan menerima bil terperinci dan bil biasa bulan Julai selepas 7 hari daripada pembacaan jangka,” jelasnya.

Dalam pada itu, Megat menjangkakan lebih daripada 99 peratus pelanggan domestik akan menerima penyata terperinci beserta bil bulan Julai.

Bagi premis yang tidak boleh diakses oleh pembaca meter, TNB akan cuba menghubungi pelanggan supaya boleh menentukan tarikh pembaca meter boleh membuat bacaan atau pelanggan boleh menghubungi TNB Careline untuk membuat temujanji.

Dalam usaha untuk mengurangkan impak pandemik Covid-19 kepada rakyat, TNB memperkenalkan pakej pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kata Megat lagi, pakej bantuan itu merangkumi Pelan Bayaran Mudah (PBM), penangguhan surcaj lewat bayar dan lanjutan penangguhan pemotongan bekalan kepada 7.5 juta pelanggan kediaman.

“Dalam bil yang diterima setiap bulan itu akan ada satu kotak kuning di atas bil itu yang menyatakan Pelan Bayaran Mudah ini dan berapa yang pelanggan boleh bayar setiap bulan sehingga Disember 2020.

“Sekiranya masih ada lagi tunggakan bagi bulan Julai contohnya, pelanggan masih boleh menggunakan Skim Bayaran Mudah ini sehingga akhir 2020,” jelasnya.

TNB berinteraksi dengan pelanggan melalui tiga saluran utama yang dipanggil 3 Click, saluran pertama melalui platform digital seperti e-mail, Twitter dan Facebook selian Careline TNB 1300-8854 daripada 9 pagi hingga 5 petang setiap hari.

“Saluran ketiga adalah ‘come over‘ di mana kita mempersilakan pelanggan untuk datang ke 125 buah kedai tenaga yang ada di seluruh negara,” ujar beliau. – SM

(Visited 227 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button