Nasionalpilihan

Pelan Pemulihan Negara akan berjaya jika semua parti bekerjasama

PELAN Pemulihan Negara akan berjaya jika semua parti bekerjasama dalam mencari jalan keluar dariapada pandemik dan bukannya bersikap skeptikal.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, negara sedang menghadapi gabungan krisis kesihatan, ekonomi dan ketidakstabilan politik secara serentak.

“Berpolitik sepanjang masa merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima. Di kala Perdana Menteri dan Menteri-Menterinya mengemukakan Pelan Pemulihan Negara yang bermatlamat membawa negara keluar daripada pandemik – kita semua perlu menyokong, bukannya skeptikal.

“Pelan tersebut hanya akan berhasil sekiranya semua parti bekerjasama mencari jalan keluar daripada pandemik,” katanya.

Strategi Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan kerajaan semalam merangkumi empat fasa dan melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Perdana Menteri berkata, setiap fasa pelan pemulihan itu berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

Pelan itu dirangka selepas mendapati keputusan melaksanakan PKP secara menyeluruh sejak 1 Jun lalu menyebabkan negara kehilangan RM1 bilion setiap hari.

Dalam pada itu, Hishammuddin turut meminta supaya desakan politik agar Parlimen dibuka semula tidak boleh mempunyai agenda tersembunyi.

“Ahli-Ahli Parlimen yang kuat mendesak agar persidangan diadakan, mesti mengambil tanggungjawab bersama bagi memastikan persidangan Parlimen dimanfaatkan sepenuhnya demi kepentingan negara dan rakyatnya terutama dalam pengurusan Covid-19.

“Sebagai Anggota Parlimen, sama ada menjadi lebih baik atau lebih teruk, ia bergantung kepada kita – untuk bersama-sama bertanggungjawab terhadap apa yang bakal terjadi di sesi berikutnya.

“Kita harus menunjukkan kepada rakyat bahawa kita berada di sini demi kepentingan mereka dan bukannya cita-cita peribadi,” jelasnya. -SM

(Visited 201 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button