Nasional

Pelaksanaan pelan dan dasar berkaitan teknologi hijau akan dipercepat

KEMENTERIAN Sumber Asli dan Kelestarian Alam telah menganjurkan Mesyuarat Kelima Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara (MTPIN) Bil. 1 Tahun 2024 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam , Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, 16 Menteri Persekutuan atau Timbalan Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri atau wakilnya, Peguam Negara dan seorang pakar perubahan iklim.

MTPIN ditubuhkan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 11 Disember 2020 dan merupakan platform tertinggi yang bertanggungjawab bagi menetapkan dasar, hala tuju dan perkara berkaitan perubahan iklim melibatkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Mesyuarat Kelima MTPIN Bil 1 Tahun 2024 telah membincangkan sebanyak empat kertas kerja melibatkan dua kertas pertimbangan dan dua kertas makluman.

“Saya membentangkan tiga kertas dengan perkara utama yang dibincangkan termasuk cadangan penetapan tahun sasaran aspirasi pelepasan gas rumah kaca (greenhouse gas – GHG) sifar bersih negara pada tahun 2050 berdasarkan hasil kajian Pembangunan Hala Tuju dan Pelan Tindakan Nationally Determined Contributions (NDC) dan Strategi Jangka Panjang Pembangunan Rendah Karbon (LT-LEDS).

“Bagi mencapai sasaran ini, mesyuarat telah bersetuju untuk mempercepatkan pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) serta dasar baharu seperti Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara(RUUPIN) dalam mencapai sifar bersih pada tahun 2050.

“Pendekatan beraspirasi tinggi ini akan menjadi pemangkin kepada Malaysia untuk menjadi mercu tanda
pertumbuhan ekonomi hijau serta menjana pekerjaan hijau untuk rakyat.

“Mesyuarat turut bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Dekarbonisasi Kebangsaan yang dipengerusikan oleh saya sendiri selaku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam untuk memantau pelaksanaan pelan tindakan untuk mencapai sasaran ini.

“Dengan mengambil kira perkembangan dasar dan perkembangan terkini isu perubahan iklim di peringkat domestik dan antarabangsa, Dasar Perubahan Iklim (DPIN) 2009 telah disemak semula dan dikemaskini termasuk komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Paris 2015. Majlis turut bersetuju untuk meluluskan Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 untuk tujuan tersebut.

“Dasar ini akan saling melengkapi inisiatif-inisiatif lain, antaranya penggubalan RUUPIN, pembangunan Pelan Adaptasi Nasional dan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan.

“Bagi meneruskan penyertaan aktif Malaysia di persidangan antarabangsa, saya juga telah membentangkan perancangan pembangunan Pavilion Malaysia di UNFCCC COP-29 pada bulan November 2024 di Baku, Azerbaijan dan COP-30 di Brazil pada tahun 2025.

“Pada mesyuarat ini juga, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti turut membentangkan tindak balas sektor kewangan dalam perubahan iklim yang diterajui oleh Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3). JC3, melalui inisiatifnya akan memperkukuhkan peranan institusi kewangan dalam menyokong hala tuju peralihan pembangunan rendah karbon.

“Inisiatif-inisiatif yang dirancang ini merupakan manifestasi kerajaan dalam menangani isu perubahan iklim secara komprehensif dengan mengurangkan pelepasan GHG, memperkukuhkan daya tahan negara terhadap kesan  perubahan iklim, serta menggalakkan peralihan ke arah pembangunan yang lebih lestari dan rendah karbon.

“Agenda perubahan iklim juga akan menjadi antara bidang keutamaan yang akan diberikan perhatian semasa kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun 2025.

“Mesyuarat MTPIN ini juga menjadi platform untuk saya berkongsi hasil kunjungan hormat ke atas TYT Jeneral (Polis) Phatcharavat Wongsuwan, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Thailand dalam lawatan kerja singkat saya ke Bangkok, Thailand pada 12 Jun 2024.

“Kerajaan Thailand telah menyatakan sokongan kepada Malaysia bagi Kepengerusian ASEAN 2025 dan bersetuju menjalin kerjasama bagi berkongsi kepakaran dalam mekanisme pasaran karbon.

“Saya yakin dengan kejayaan Thailand melalui pembangunan mekanisme program Voluntary Emission Reduction (T-VER) berpotensi menjadi asas dalam pembangunan Rangka Kerja Karbon Bersama ASEAN. NRES akan menjalin
kerjasama bagi tujuan ini melalui Bursa Malaysia, Malaysia Forest Fund dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN,” kata Nik Nazmi. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button