NasionalNegeri

Pelajar perlu tetapkan sasaran dengan jelas

Tuanku Syed Faizuddin Putra diberi sambutan meriah oleh pelajar semasa berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 peringkat SMK Kinabutan 2, Jalan Sin On Tiku, Tawau, Sabah .

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, setiap pelajar perlu menetapkan matlamat atau sasaran masing-masing dengan jelas dalam apa jua yang dilakukan.

Langkah-langkah dan usaha bagi mencapai kecemerlangan di luar dan di dalam kelas yang telah ditetapkan juga perlu dilaksanakan bagi memastikan ia tercapai.

Pelajar yang berjaya juga perlu mempunyai tahap fokus dan memberi tumpuan yang tinggi.

Elemen ini penting bagi memastikan mereka tidak akan tertinggal atau tercicir maklumat yang penting khususnya ketika proses pembelajaran dan pengajaran sedang berlangsung, titah baginda.

“Murid-murid juga perlu bijak dalam menguruskan masa dengan aktiviti seharian anda. Jadual harian dan juga jadual sekolah perlu seimbang bagi memastikan pelajar tidak terlalu fokus akan aktiviti di sekolah atau di luar sekolah sahaja”, titah Baginda lagi.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinabutan 2, Jalan Sin On Tiku, Tawau, Sabah.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan bergambar bersama guru dan pelajar semasa merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 peringkat SMK Kinabutan 2, Jalan Sin On Tiku, Tawau, Sabah .

Program ini anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Daerah Tawau.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Tawau, Matnoor Sima dan Pengetua SMK Kinabutan 2, Sharifuddin Kamarzaman.

Turut terlibat sama adalah Penyelaras Program Titian Kasih, Jumariah Samsuddin dan Penyelaras Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

Seramai 539 pelajar tingkatan 1 sehingga tingkatan 3 telah terlibat dan mendapat pelbagai maklumat yang berguna daripada program tersebut.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan Perasmian Dewan Sharifah Khatreena Nuraniah mengambil sempena nama anakanda sulung Baginda di sekolah tersebut.

Dewan ini akan berfungsi sebagai dewan serbaguna untuk kegunaan sebarang aktiviti kakitangan dan pelajar sekolah.

Pelbagai sumbangan disalurkan melalui YTSP Perlis sempena Titian Kasih pada kali ini.

Antaranya ialah Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Nazim Mohd Noor telah menyumbang wang tunai untuk kegunaan program dakwah di SMK Balung dan SMK Kinabutan II, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis menyumbang wang tunai untuk program berbuka puasa di sekolah-sekolah berasrama yang dikunjungi sebanyak 8 buah di sekitar Tawau, PTPTN menyumbang kepada 100 orang pelajar B40 di SMK Balung oleh Pengarah PTPTN Perlis Raja Syahriman Raja Halimul Rashid, Yayasan Islam Perlis menyumbang wang tunai kepada sekolah berasrama untuk melaksanakan program ilmu melalui Pengarahnya Noorhamizi Mohd Yaacob.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan merasmikan Dewan Sharifah Khatreena Nuraniah sempena Program Titian Kasih Mega 2024 peringkat SMK Kinabutan 2, Jalan Sin On Tiku, Tawau, Sabah .

Turut disampaikan ialah koleksi buku-buku Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) daripada Ketua Pengarahnya, Dr. Hazami Jahari, 1 Unit PA System untuk kegunaan asrama di SMK Balung daripada Datuk M. Rajasekaran yang juga Pengarah Rajasekaran Advocates & Solicitor dan sumbangan wang tunai kepada PIBG untuk kegunaan sekolah daripada Presiden Yayasan Kebajikan Perlis Affendi Rajini Kanth, serta buku-buku ilmiah kepada SMK Balung dan SMK Kinabutan 2 daripada Perpustakaan Awam Negeri Perlis melalui Pengarahnya Abd Rahim Husin. – SM

(Visited 38 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button