NasionalNegeriPendidikan

Pelajar perlu lengkapkan diri dengan pelbagai lapangan ilmu

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, para pelajar sekolah rendah dan menengah merupakan aset masa depan yang perlu melengkapkan diri dengan pelbagai lapangan ilmu dan cara berfikir kelas pertama agar cita-cita menjadikan negeri serta negara ini disegani dan dihormati akan dapat direalisasikan.

Baginda bertitah, para pelajar wajar melengkapkan diri dan meneroka ilmu yang terkini, melakukan inovasi, dan berusaha untuk mengekalkan kecemerlangan bahkan meningkatkan usaha masing-masing bagi mencapai keputusan yang lebih baik sama ada dalam pelajaran mahupun kokurikulum.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen berkenaan menyaksikan penyerahan cek replika oleh Shahrizal kepada Mohd Zamzuri berjumlah RM36,543 untuk tujuan Perolehan Buku Teks 2024 di MRSM Arau sempena Program Titian Kasih Mega 2024.

Titah Baginda, akhlak yang baik merupakan tunjang kejayaan setiap individu khususnya para pelajar sekalian.

“Beta berharap para pelajar MRSM Arau akan sentiasa menjaga nama baik diri sendiri, keluarga dan nama baik sekolah serta mengelakkan dari terlibat dengan sebarang perlakuan tidak bermoral yang akan menjejaskan prestasi akademik anda”, titah Baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 bagi peringkat Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Arau bertemakan ‘Perlis Hebat! Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Segala Tindakan’ di Dewan Sharifah Khatreena Nuraniah maktab.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan bertitah sempena perasmian Program Titian Kasih Mega 2024 di MRSM Arau.

Ia melibatkan penyertaan seramai 701 orang pelajar tingkatan satu hingga lima.

Keberangkatan tiba Baginda yang diiringi Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Shahrizal Mohd Saderi, Pengarah MARA Negeri Perlis Mohd Azam Jamaluddin dan Pengetua MRSM Arau, Mohd Zamzuri Md Noor.

Turut hadir, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus dan Penyelaras dari Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

MRSM Arau telah mencapai pelbagai kecemerlangan dalam bidang akademik mahupun kokurikulum, termasuklah membawa pulang 5 pingat emas, 4 pingat perak dan 6 gangsa dalam Kejohanan Taekwondo MRSM Se-Malaysia.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen berkenan bergambar kenangan dengan guru dan pelajar sempena perasmian Program Titian Kasih Mega 2024 di MRSM Arau.

Dua orang pelajar sekolah ini juga telah mewakili negeri bagi sukan golf di peringkat Majlis Sukan Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

MRSM Arau juga telah membawa pulang pingat emas bagi KUIPs Innovation, Invention & Design 2023, tempat ketiga dan kelima bagi Karnival STEM Perlis 2023 dan beberapa lagi kejayaan lain.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan untuk menyempurnakan perasmian penamaan Wisma Pendeta MRSM Arau dengan nama Perpustakaan Syed Sirajuddin Areeb Putra mengambil sempena nama anakanda bongsu Baginda bagi kegunaan warganya.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen berkenan bersalaman dengan para pelajar sempena perasmian Program Titian Kasih Mega 2024 di MRSM Arau.

Perpustakaan ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti pembelajaran para pelajar yang menyediakan bahan bacaan dan rujukan ilmiah yang lebih banyak.

Turut dilaksanakan ialah penyerahan cek replika oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA kepada Pengetua MRSM Arau berjumlah RM36,543 untuk tujuan Perolehan Buku Teks 2024 dengan disaksikan oleh Baginda berdua. – SM

BACA Pelajar Perlis perlu miliki ‘global mindset’ – Raja Muda Perlis

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button