BeritaPendidikan

Pelajar perlu lengkap dengan kemahiran

Pelbagai usaha dalam meningkatkan kemahiran tambahan terutamanya graduan IPT mahupun lepasan sekolah untuk menyertai alam pekerjaan hendaklah sentiasa dibangunkan.

Begitu juga dengan segala inisiatif dalam membantu memadankan kehendak majikan atau syarikat dengan kelayakan dan kemahiran graduan mahupun lepasan sekolah juga perlu sentiasa dilaksanakan.

Pada masa yang sama juga, mereka perlu didedahkan dengan kemahiran teknologi maklumat, latihan perwatakan diri, kepimpinan dan kebolehan dalam memikul amanah serta tanggungjawab.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM21,000 kepada 30 orang asnaf terpilih. Masing-masing menerima RM700 dan merupakan kalangan anak kariah Masjid Terapung Al Hussain, Kuala Perlis. Sumbangan akan diagihkan menerusi amil kariah berkenaan Usop Harun.

Mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menambah, bagi yang kurang mahir dalam bidang komunikasi, maka program pemerkasaan pelbagai bahasa wajar dilaksanakan supaya peluang dalam mendapat pekerjaan adalah lebih cerah.

“Selain Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin juga wajar dimanfaatkan kerana dominasi negara China dalam ekonomi dunia hari ini. Bahasa Thai juga dilihat penting kerana Perlis terletak berjiranan dengan negara tersebut serta banyak peluang pekerjaan bakal diwujudkan apabila pintu sempadan negara dibuka kembali kelak”.

Tidak terkecuali Bahasa Tamil, Arab, Jepun, Sepanyol, Perancis, Russia dan sebagainya turut perlu diberikan perhatian sewajarnya sama ada secara lisan mahupun bertulis, jelas Tuanku Raja Muda.

(Visited 199 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button