Politik

Muhyiddin dedah butiran permintaan pemimpin UMNO campur tangan kehakiman

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan butiran untuk menyokong dakwaan beliau wujudnya percubaan memintanya campur tangan dalam proses kehakiman bagi membantu ahli politik UMNO yang berdepan dakwaan rasuah.

Isu tersebut timbul lagi susulan kenyataan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tengku Mat.

Dalam respons beliau terhadap notis tuntutan daripada peguam Datuk Seri Najib Razak, Muhyiddin turut menamakan “seorang peguam kanan” yang menjadi sasaran bekas pemimpin yang sudah disabitkan bersalah itu.

DATUK Seri Najib Razak

Muhyiddin berkata, beliau didekati Najib dan beberapa orang perantaraannya untuk memohon supaya individu itu digugurkan daripada pasukan pendakwaan dalam kes rasuah yang sedang berjalan.

“Walaupun mengugut dengan saman fitnah, tiada tindakan susulan daripada pihak Najib selepas respons yang diberikan Muhyiddin,” kata sumber dalaman UMNO yang rapat dengan kem Najib kepada MalaysiaNow.

Pada September lalu, Muhyiddin menerima surat tuntutan daripada peguam Najib mendesaknya untuk menjelaskan sama ada beliau merupakan dalang di sebalik “khabar angin” yang mengatakan Najib meminta beliau untuk campur tangan dalam kes mahkamahnya.

Muhyiddin menerima surat tuntutan itu beberapa hari selepas beliau mendedahkan mengenai sekumpulan ahli politik yang cuba memintanya untuk campur tangan dengan kes rasuah yang melibatkan mereka.

DATUK Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi – GAMBAR BERNAMA

Presiden Bersatu itu membuat dakwaan tersebut pada Ogos tahun lalu ketika kempen Najib dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menumbangkan pentadbirannya sedang memuncak.

Ia disusuli dengan desakan jurucakap Bersatu, Wan Saiful Wan Jan yang mahu Najib dan Zahid tampil menjelaskan dakwaan yang mengatakan mereka adalah orang yang dimaksudkan Muhyiddin.

Pada pengamatan, MalaysiaNow, ketika kedua-dua Najib dan Zahid jika dicampurkan mereka berdepan lebih dari 80 pertuduhan jenayah berkaitan dengan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah (CBT).

Walaupun Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dengan sokongan UMNO pada Mac 2020, beliau bagaimanapun berikrar untuk tidak mencampuri kes mahkamah melibatkan sekumpulan Ahli Parlimen UMNO yang turut dikenali sebagai kluster mahkamah.

Pada Oktober 2020, MalaysiaNow melaporkan Muhyiddin didekati Zahid dalam usaha untuk menggugurkan kes rasuahnya.

“Namun beliau pulang dengan kecewa, bersama fail yang dibawanya,” kata sumber berhubung pertemuan sulit pada Mac 2020 selepas beberapa hari Muhyiddin memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

Sementara itu, isu campur tangan kehakiman kembali menjadi tumpuan minggu lalu selepas Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tengku Mat berkata, tiada individu yang menemui beliau untuk campur tangan dan menegaskan anggota kehakiman negara akan terus bersikap bebas ketika ditanya berhubung dakwaan Muhyiddin.

Susulan kenyataan Maimun, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak Muhyiddin menjelaskan tuduhan wujud permintaan supaya beliau campur tangan dalam kes rasuah yang sedang berjalan.

Dalam jawapan Muhyiddin, beliau berkata, kenyataan yang dibuat berhubung cubaan untuk memintanya campur tangan dalam sistem kehakiman tidak pernah menamakan Najib.

Sebaliknya, beliau berkata, Najib sendiri yang mendedahkan dirinya dengan mengeluarkan notis tuntutan tersebut.

Dalam jawapannya kepada peguam Najib, Muhyiddin turut menyifatkan pemimpin UMNO itu sebagai “penjenayah yang sudah disabitkan bersalah”.

“Dengan sabitannya itu, klien anda tidak boleh, dalam apa jua keadaan, berhak ke atas sebarang kerosakan bagi sebarang dakwaan reputasinya terjejas.”

Bulan lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk menggugurkan sabitan bersalahnya berkaitan dana RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya.

Pada Julai 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman ke atas Najib 10 tahun penjara bagi enam pertuduhan berkait kesalahan pecah amanah, pengubahan wang haram dan 12 tahun bagi kesalahan salah guna kuasa dengan jumlah keseluruhan 72 tahun.

Najib turut dikenakan denda RM210 juta atau lima kali jumlah amaun dana yang terlibat.

Bagaimanapun, hakim berkata, Najib akan menjalani hukuman tersebut secara serentak selama 12 tahun. – SM

(Visited 511 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button