Ekonomi

Pelabuhan kembali beroperasi secara normal mulai esok

PENGENDALI pelabuhan di seluruh negara diarahkan untuk membenarkan syarikat yang telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), mengikut polisi Majlis Keselamatan Negara (MKN), untuk meneruskan aktiviti import dan eksport mereka, berkuatkuasa esok.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata tindakan itu selari dengan keputusan kerajaan pada hari ini, yang bersetuju supaya sektor-sektor ekonomi dibenarkan beroperasi, bagi memulihkan sistem rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan, selepas terjejas akibat pandemik COVID-19.

“ …sebagaimana cadangan MKN bagi menyelamatkan pekerjaan, mengembalikan pendapatan negara dan memberi keyakinan kepada pelabur. Bersandarkan keputusan ini, semua syarikat dibenarkan beroperasi sepenuhnya tanpa sekatan masa, mengikut keperluan industri masing-masing.

“Bagaimanapun, syarikat yang mendapat kelulusan untuk beroperasi, haruslah mematuhi garis panduan ketat demi menjamin kesihatan dan keselamatan para pekerja, seperti mempraktikkan jarak sosial dan menitikberatkan soal kebersihan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu, syarat tersebut turut dikenakan kepada mereka yang terlibat dengan aktiviti import dan eksport, bagi kedua-dua jenis barangan keperluan penting dan tidak penting di pelabuhan, yang akan dibenarkan beroperasi 24 jam sehari.

Jelas kenyataan itu lagi, kementerian akan terus memantau keadaan semasa berkaitan logistik dan pengangkutan, yang mempengaruhi syarikat-syarikat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan akan mengesyorkan polisi, yang berupaya mengurangkan implikasi ekonomi.

Baru-baru ini, kementerian telah membenarkan kerja-kerja pelepasan kargo di pelabuhan-pelabuhan utama negara, bagi fasa keempat yang bermula 20 April hingga 23 April.

Kerja-kerja pelepasan kargo di pelabuhan-pelabuhan yang terlibat seperti Pelabuhan Klang, Johor, Pulau Pinang, Kuantan, Melaka, Bintulu dan Labuan serta pelabuhan milik kerajaan negeri di Sabah dan Sarawak, telah berjaya mengalihkan kontena-kontena yang sesak di pelabuhan dengan cepat, mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan kesihatan, yang termaktub di bawah peraturan PKP.

Bagi prestasi pengendalian kontena import, terdapat beberapa pelabuhan yang mencatatkan prestasi pengendalian yang baik dan lancar, berdasarkan kepada kadar kapasiti penggunaan lapangan kontena (container yard) antara 20 hingga 50 peratus seperti Pelabuhan Pulau Pinang, Tanjung Pelepas, Kuantan, Bintulu, Labuan, Sibu, Kuching, Miri dan Sandakan.

Pelabuhan Pasir Gudang, Pelabuhan Utara (Northport) dan Tawau pula mencatatkan kadar kapasiti 50 hingga 60 peratus manakala Pelabuhan Barat (Westports) dan Tanjung Bruas pula merekodkan kadar penggunaan lapangan kontena melebihi 70 peratus.

Bagi prestasi pengendalian kontena eksport, Pelabuhan Pasir Gudang, Kuantan, Labuan, Sibu dan Sandakan mencatatkan kesesakan di bawah 50 peratus. Pelabuhan Barat (Westports) pula berada antara 50 hingga 60 peratus, sementara pelabuhan Tanjung Bruas dan Miri pula melebihi 70 peratus.

“Berdasarkan kepada pencapaian itu, terdapat perbezaan kadar penggunaan lapangan dan pengendalian kontena eksport antara pelabuhan-pelabuhan yang mungkin dipengaruhi oleh faktor jumlah pengeluaran output daripada kilang-kilang untuk dieksport yang tidak dapat beroperasi dalam kapasiti sepenuhnya sepanjang tempoh PKP,” katanya. –BERNAMA

(Visited 369 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button