Seorang pekerja ladang mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas dakwaan cuba membunuh isterinya dengan membakar wanita itu sehingga menyebabkan kecederaan parah dalam kejadian pada 31 Julai lalu.
Tertuduh, R Rethinasamy, 36, membuat pengakuan itu ketika kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan niat cuba membunuh isterinya berusia 35 tahun sehingga mengakibatkan wanita itu mengalami kecederaan parah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Ladang Mayfield, Tasek Gelugor, pada jam 10.30 malam, 31 Julai lalu.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada seseorang, tertuduh turut boleh dihukum bawah kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Wan Amira membantah sekeras-kerasnya jaminan ditawarkan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan serius dilakukan yang mana mangsa adalah isteri suspek sendiri.
“Mangsa dilaporkan melecur tahap tiga ekoran kecederaan hampir keseluruhan badan.
“Dia (mangsa) masih tidak sedarkan diri dan sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 11 September ini sebagai tarikh untuk serahan laporan perubatan mangsa dan lantikan peguam.
Media sebelum ini melaporkan seorang pekerja ladang tergamak menyimbah petrol dan membakar isterinya hanya kerana perselisihan faham membabitkan keluarga.
Suspek kemudian melarikan diri apabila menyedari api pada badan isterinya semakin merebak.
Polis kemudian berjaya menahan suspek di sebuah rumah di Jalan Bukit Panchor, Nibong Tebal, empat hari selepas kejadian. – SUMBER HARIAN METRO – SM
BACA Pekerja ladang bakar isteri dengan petrol