Luar Negara

Pekerja kilang dihukum mati hina Nabi Muhammad

SEBUAH mahkamah di Lahore, Pakistan telah menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang penganut Kristian atas pertuduhan menghina Nabi Muhamaad SAW.

Memetik laporan FMT, Asif Pervaiz, pekerja kilang pakaian didakwa oleh penyelianya kerana menghantar kenyataan menghina Nabi Muhammad kepadanya dalam satu pesanan teks.

Menghina nabi membawa hukuman mati mandatori di Pakistan, sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Pervais disabitkan bersalah selepas satu perbicaraan di Lahore yang bermula sejak 2013.

Peguamnya Saif-ul-Malook memberitahu Reuters, beliau akan memfailkan rayuan terhadap hukuman itu yang diputuskan oleh mahkamah semalam.

Menurut perintah mahkamah yang dilihat Reuters, Pervaiz akan menjalani hukuman penjara selama 3 tahun terlebih dahulu kerana “menyalahgunakan” telefon bimbitnya untuk menghantar pesanan teks menghina nabi sebelum “digantung sehingga mati”.

Menurut perintah itu, dia turut didenda 50,000 rupee (AS$300).

Saif-ul-Malook berkata, Pervaiz memberitahu mahkamah yang penyelianya membuat dakwaan itu hanya selepas dia enggan memeluk Islam.

Peguam pengadu Murtaza Chaudhry bagaimanapun menafikannya.

Kumpulan Hak Asasi Manusia berkata, undang-undang menghina nabi sering disalahgunakan terhadap minoriti atau umat Islam untuk menyelesaikan permusuhan peribadi.

Ekstremisme Islam meningkat di Pakistan dan tuduhan sedemikian boleh mencetuskan kekerasan jalanan.

Seorang warga Amerika Syarikat yang berasal dari Pakistan dalam satu perbicaraan di Peshawar pada Julai lalu ditembak mati dalam bilik mahkamah oleh seorang remaja yang mendakwa dia membunuh lelaki itu kerana menghina Nabi Muhammad.

Sejak ditahan pihak berkuasa, penembak itu dijulang sebagai “wira suci” oleh penyokong di Pakistan dan ribuan umat Islam mengadakan protes untuk menuntut pembebasannya. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button