Peka keadaan sekeliling, patuh SOP – Raja Muda Perlis
Golongan pelajar perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling. Minggu lalu kita dikejutkan dengan kluster Sivagangga di Kedah.
Beberapa hari yang lalu ia sudah mula pula merebak ke Perlis hingga berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) di beberapa kawasan.
Oleh itu, para pelajar diharap akan mengambil iktibar daripada situasi ini dengan sentiasa mematuhi SOP dan tidak mengambil mudah terhadap aspek kebersihan diri. Begitu juga sentiasa mengambil tahu pekeliling yang dikeluarkan oleh Kerajaan dan universiti atau sekolah masing-masing dari masa ke semasa.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyaksikan pemeteraian ‘Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara UniMAP Bersama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB)’ yang diadakan di Ruang Legar Dewan Senat Kampus Alam universiti berkenaan di Pauh Putra pada petang semalam.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merangkap Tuanku Pro Canselor.
Naib Canselor Prof Ir Ts R Badlishah Ahmad menandatangani bagi pihak UniMAP manakala Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Muazzam Mohamed pula mewakili BIMB.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Tuanku Canselor UniMAP meninta para pelajar IPT sementara berada di rumah pada ketika ini supaya jadilah agen penyampai maklumat sahih daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada komuniti setempat mengenai situasi terkini negara menghadapi COVID-19 yang muncul kembali gara-gara sifat ambil mudah kita. Ia secara tidak langsung mengajar semua supaya lebih bertanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga tersayang dan masyarakat.
Di majlis yang sama pihak BIMB turut menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM30,000 kepada pihak UniMAP untuk tujuan kegunaan para pelajar dari kalangan keluarga asnaf terpilih yang layak mengikiut kriteria yang ditetapkan.