Nasional

Perhimpunan pilihan raya akan dikenakan tindakan undang-undang – KJ

KEMENTERIAN KESIHATAN tidak membenarkan sebarang perhimpunan awam membabitkan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Menteri Khairy Jamaluddin berkata, berdasarkan pemantauan situasi COVID-19 dalam negara didapati antara penyumbang kepada peningkatan kes dan kluster di Malaysia adalah berkait dengan aktiviti perhimpunan atau majlis sosial yang tidak mematuhi SOP.

KKM menjangkakan banyak perhimpunan serta majlis sosial berkaitan dengan pilihan raya akan diadakan melibatkan ramai individu berkumpul dari seluruh negara.

Larangan tersebut di bawah peruntukan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] berkuatkuasa pada 25 Oktober 2021 hingga 27 November 2021.

“Sehubungan itu, bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID19 dan peningkatan kes mendadak; sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya adalah tidak dibenarkan, termasuklah penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya.

“Larangan ini juga selari dengan senarai aktiviti yang tidak dibenarkan (senarai negatif) dalam Pelan Pemulihan Negara SOP Fasa 4 yang terkini iaitu: “Apa-apa aktiviti yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Individu, penganjur atau organisasi yang melanggar larangan tersebut boleh dikenakan tindakan perundangan seperti kompaun atau tindakan pendakwaan di mahkamah di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Khairy Jamaluddin menegaskan, semua pihak dikehendaki mematuhi peraturan, SOP dan arahan yang telah ditetapkan demi memastikan penularan jangkitan COVID-19 dapat mencegah peningkatan kes dan kejadian kluster.-SM

(Visited 155 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button