Nasional

Pejabat kerajaan beroperasi penuh semasa PKP

PEJABAT-PEJABAT kerajaan diarahkan beroperasi sepenuhnya dengan kehadiran pegawai seperti yang ditetapkan berdasarkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di setiap negeri bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang berterusan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata kehadiran pekerja dalam perkhidmatan perlu bagi enam negeri, iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah yang dikenakan PKP mulai esok hingga 26 Jan, ialah 100 peratus.

“Bagi perkhidmatan lain pula, kehadiran pekerja maksimum ialah 30 peratus.

“Arahan sama turut dilaksanakan kepada pegawai di negeri yang dikenakan PKP Bersyarat (PKPB) iaitu Pahang, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Terengganu dan Kelantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khairul Adib berkata bagi negeri yang dikenakan PKP Pemulihan (PKPP) iaitu Perlis dan Sarawak, kehadiran pekerja ialah secara optimum.


Bagi yang tidak berkenaan, selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan Lima Tahun 2020: Dasar Bekerja Dari Rumah (BDR), lain-lain pegawai diarahkan BDR.

“Bagi memastikan perkhidmatan asas agensi tidak terjejas, berterusan dan dapat dicapai oleh pelanggan berdasarkan piagam pelanggan kementerian, jabatan serta agensi masing-masing, ketua jabatan hendaklah menentukan kehadiran pegawai seperti yang ditetapkan.

“Pelaksanaan BDR hendaklah mengikut peraturan dan garis panduan yang telah diperuntukkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan Lima Tahun 2020.

“Arahan ini juga terpakai bagi mana-mana negeri atau kawasan mengikut jenis perintah yang diumumkan kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya.

Mohd Khairul Adib berkata arahan itu turut dipanjangkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan pelaksanaan PKP di enam negeri – Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah – untuk tempoh 14 hari bermula Rabu (13 Jan) hingga 26 Jan.

Enam lagi negeri – Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan – dilaksanakan PKPB manakala Perlis dan Sarawak di bawah PKPP, untuk tempoh sama. – BERNAMA

 

(Visited 108 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button