MahkamahNasional

Pegawai SPRM seleweng RM29 juta mengaku tak bersalah

SEORANG pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasual Malaysia (SPRM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyeleweng wang berjumlah USD6.94 juta, kira-kira RM29 juta yang dirampas oleh agensi berkenaan.

Tertuduh, Shahrum Nizam Baharuddin, 40, didakwa dengan satu tuduhan pecah amanah jenayah (CBT) di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 17 Disember 2018 dan 9 April 2019 di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya. Jika didapati bersalah, Shahrum berdepan hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta sebatan dan denda.

SPRM sebelum ini mengesahkan tiga pegawai kanannya ditahan bagi membantu siasatan berkait dakwaan salah guna kuasa dan amalan salah dalam kes bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid.

Hakim Suzana Hussin tidak membenarkan Shahrum diikat jamin dan menetapkan 18 Februari ini untuk sebutan semula.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu mahkamah, pihak pendakwaan akan memfailkan 110 lagi tuduhan pengubahan wang haram terhadap Shahrum minggu ini.

Katanya, pihak pendakwaan membantah permohonan ikat jamin Shahrum kerana dia kini berada dalam tahanan selama dua tahun di pusat Simpang Renggam bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas).

“Tuduhan CBT ini adalah kesalahan yang tidak boleh diikat jamin dan kes ini membabitkan pegawai penguat kuasa. Kes ini juga menerima liputan meluas media.

“Bagaimanapun, kami akur bahawa tergantung kepada budi bicara mahkamah untuk membenarkan ikat jamin.

“Jika dibenarkan, kami menggesa agar ikat jamin ditetapkan pada RM10 juta dengan tiga penjamin,” kata Wan Shaharuddin seperti dilaporkan FMT.

Peguam Shahrum, Ponnusamy Kalaichelvan memberitahu mahkamah anak guamnya kini sedang merayu penahanannya di Simpang Renggam.

“Jika mahkamah membenarkan ikat jamin hari ini, dia boleh dibebaskan daripada tahanan sebaik sahaja rayuannya berjaya. Dia kemudian akan mempunyai masa untuk menyediakan pembelaannya,” katanya.

Ponnusamy dalam hujahannya berkata, tiada asas bagi pihak pendakwaan untuk menyebut “liputan media meluas” sebagai alasan untuk membantah ikat jamin.

“Liputan media yang meluas tidak menentukan sama ada sesuatu kes itu membabitkan kesalahan serius atau tidak,” katanya.

Shahrum turut diwakili  peguam Mohd Fikah Sanusi. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button