Politik

Pecah-belahkan perpaduan Melayu, Islam kerja syaitan

KETUA Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyelar pihak yang cuba memecah-belahkan perpaduan politik orang Melayu dan Islam.

Menurut beliau, hanya syaitan yang cuba menghancurkan perpaduan yang terjalin dalam kalangan masyarakat Melayu dan Islam.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu menegaskan, kekuatan Malaysia akan hancur sekiranya tiada kesatuan politik dalam kalangan orang Melayu.

“Kerja memecah belahkan perpaduan politik Melayu-Islam adalah kerja syaitan. Perbezaan boleh diuruskan demi kekuatan dan kestabilan politik negara.

“Tanpa kesatuan dalam politik Melayu, semuanya akan hancur berkecai. Pra-syarat kekuatan Malaysia adalah kedaulatan politik Melayu-Islam sebagai tunjang kenegaraan,” katanya.


Beliau menegaskan, senario politik hari ini menuntut perkongsian kuasa dan bukan lagi hegemoni tunggal.

“Ambil ‘ibrah (pengajaran) daripada sirah jatuh-bangun umat Islam dan Melayu. Di Andalusia, kita hancur sebab petty kingdoms (tawa’if).

“Di alam Melayu dan dunia Islam kita dijajah kerana semangat kenegerian yang melampau ketika itu.

“Buang yang keruh, ambil yang jernih. Bersatulah wahai kaum Muslimin! Kita bina semula peradaban Melayu Raya demi kestabilan negara!” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Wan Ahmad Faysal menjadi perhatian selepas sebuah portal berbahasa Inggeris dengan tajuk ‘Umno’s time is over, says Bersatu Youth chief’ melaporkan beliau berkata, masa untuk UMNO telah berlalu.

Portal itu memetik berita Utusan Malaysia, yang mengingatkan UMNO supaya akur bukan lagi menjadi kuasa besar dalam politik negara.

Wan Ahmad Faysal berkata, situasi politik pada masa kini menuntut semua parti bekerjasama memastikan agenda politik parti masing-masing dapat dijayakan.

“Sekiranya tidak bekerjasama, kita semua rugi dan berkemungkinan kalah nanti.

“Bersatu masih mengharapkan UMNO bersama Perikatan Nasional (PN) supaya pertembungan tiga penjuru dapat dielakkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke tiga fasiliti sukan di sekitar Shah Alam semalam.

 

 

 

 

(Visited 123 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button