Agama

Fahaman Ibu Yati disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja

Fahaman Ibu Yati telah disembah maklum kepada Majlis Raja Raja untuk tindakan selanjutnya.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam kali ke-118 telah mendengar laporan berkenaan fahaman Ibu Yati.

Laporan tersebut telah dibentangkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada pada 17 Februari 2021 bertempat di Kompleks Islam Putrajaya.

“Hasil resolusi Muzakarah termasuk keputusan perbincangan fahaman Ibu Yati telah disembah maklum kepada Majlis Raja Raja untuk perhatian selanjutnya.

“Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada JAIS selaku pihak berkuasa agama negeri atas kerjasama yang utuh dalam memelihara akidah umat Islam,” katanya.

Menurut beliau Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama pihak berkuasa agama negeri sentiasa berganding bahu dalam memastikan isu-isu membabitkan penyelewengan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah dapat diatasi dengan sebaiknya.

Ajaran Ibu Yati melibatkan wartawan bernama Wan Norhayati Wan Alias.

Fahaman itu menjadi perbualan warga maya baru-baru ini selepas tersebar rakaman video yang memaparkan beliau melafazkan iLa Ha iLa Ra iLa Ma dan aku Melayu sebanyak tujuh kali sebelum kemudiannya membuat paluan gong dalam sebuah upacara.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan telah memanggil Ibu Yati bagi membantu siasatan berhubung fahaman Islam Melayu yang dikaitkan dengan wanita tersebut pada 3 Februari lalu.

Terdahulu, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan ajaran Islam Melayu dibawa oleh individu yang dikenali sebagai ‘Ibu Yati’.

Beliau berkata, kelahiran agama baharu yang dikenali sebagai Agama Melayu itu menolak ajaran Islam yang dianggap sebagai Islam Arab dan mengakui membawa ajaran Islam Melayu.-SM

(Visited 173 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button