Patriot persoal bagaimana kerajaan peroleh dana RM250 bilion
PERSATUAN Patriot Kebangsaan (Patriot) hari ini mempersoalkan bagaimana kerajaan memperoleh sumber dana ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjumlah RM250 bilion, semalam.
Presidennya, Briged Jeneral Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, apabila pakej Prihatin itu diumumkan oleh Perdana Menteri, dilihat ramai ahli politik dan ekonomi memuji tindakan tersebut.
Bagaimanapun, menurut Mohamed Arshad, mereka lupa untuk bertanya soalan yang paling penting iaitu daripada mana sumber dana itu datang.
“Contohnya, adakah sumber dana itu melalui pinjaman asing, menaikkan cukai, atau pun menjual aset negara?
“Bagaimana dana tersebut akan disalurkan dan adakah ia (dana) itu akan melalui agensi-agensi yang berkaitan dengan politik?
“Apakah pengawasan yang akan dilakukan dalam memastikan dana tidak disalahgunakan? Ketika kerajaan mengumumukan pakej berkenaan, mereka tidak memberikan jawapan segera, sebaliknya memperlihatkan atmosfera ‘rasa baik, rasa bagus’,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
BACA:
- Kerajaan perlu gembleng dana daripada pelbagai sumber untuk rangsang ekonomi – Abdul Wahid
- Belia terima impak segera pakej rangsangan
- Bekukan kenaikan harga barang dapur, nelayan dikecuali PKP – Rais
Dalam pada itu, menurut Mohamed Arshad lagi, pihaknya bimbang sekiranya pelaksanaan penyaluran dana tersebut tidak dilakukan dengan baik.
“Jumlah yang besar kemungkinan menjurus kepada kebocoran ekonomi besar. Tidak dinafikan bahawa pakej rangsangan ekonomi diperlukan ketika kemelesetan ekonomi, lebih-lebih lagi disebabkan penularan wabak Covid-19.
“Tetapi, sumber dana itu mestilah dirancang dan diumumkan secara jelas. Ia tidak boleh menyebabkan terlalu banyak beban kepada rakyat dan di negara pada masa hadapan,” katanya.
Semalam Perdana Menteri mengumumkan pakej rangsangan berjumlah RM250 bilion yang akan memberi manfaat kepada semua dengan hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat.
Sebanyak RM100 bilion lagi untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.
Manakala sebanyak RM20 bilion telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.
Pakej PRIHATIN ini akan menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban yang ditanggung oleh anda semua.
“Sama ada anda seorang nelayan di Kukup, Johor atau pekebun kecil di Jeli, Kelantan. Anda pengusaha chalet di Cherating atau penarik beca di Melaka, peniaga pasar malam di Kuala Lumpur atau pasar tamu di Kundasang.
“Anda semua akan menikmati manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi yang peduli rakyat ini. Seperti yang saya sebutkan, tiada golongan yang akan tercicir,” tegas Muhyiddin.
Dalam pakej ini pekerja barisan hadapan yang melawan Covid-19 turut dihargai melalui pemberian elaun Kerajaan yang dinaikkan daripada RM400 kepada RM600 sebulan mulai 1 April 2020 sehingga wabak itu berakhir. -SM