Nasionalpilihan

Pasukan SAR buntu lelaki sesat belum ditemui selepas 40 jam

Jeritan meminta tolong yang didengar penduduk berhampiran kawasan pendakian Bukit Beruang dekat sini masih belum dapat mengesan keberadaan seorang lelaki yang dilaporkan sesat dan hilang sewaktu menjalani aktiviti pendakian pada petang Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Abu Bakar Katain berkata, daripada sumber maklumat diperolehi daripada penduduk setempat, mereka mendakwa mendengar jeritan meminta
tolong kira-kira pukul 8.00 malam pada petang mangsa mendaki Bukit Beruang pada pukul 4.30 petang.

Menurutnya, beliau turut dimaklumkan mangsa menghadapi masalah kesihatan dan dikatakan ada memakan ubat sebelum memulakan pendakian.

Abu Bakar Katain mengadakan sidang akhbar berhubung seorang lelaki yang sesat sewaktu
menjalankan aktiviti pendakian di Bukit Beruang, Melaka.

“Kita tidak pasti jeritan itu adalah mangsa ataupun tidak. Apapun berdasarkan maklumat itu kerahan tenaga difokuskan di kawasan tersebut namun sehingga kini mangsa masih gagal ditemui.

“Selepas 40 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan kita buntu kerana tidak menemui sebarang petunjuk keberadaan mangsa.

“Sehubungan itu, anggota SAR telah ditingkatkan daripada 85 kepada 90 anggota hari ini dan radius pencarian diperluaskan setiap cerun dan lereng bukit di setiap pelosok bukit ini seluas 37 hektar,” ujarnya kepada pemberita di tapak lokasi di Bukit Beruang di sini hari ini.

Abu Bakar berkata, penggunaan tiga ekor anjing pengesan iaitu satu daripada Unit Anjing Pengesan (K-9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan dua dari Unit K-9 JBPM berpengkalan di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur turut gagal menemukan sebarang petunjuk.

Sehubungan itu katanya, pertambahan anggota SAR dipertingkatkan daripada lima agensi selain JBPM termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Hutan Melaka, Askar Wataniah dan Angkatan
Pertahanan Awam (APM) diharap dapat menemukan mangsa.

“Ini adalah kali pertama kejadian orang sesat dan hilang memakan masa hampir dua hari kerana beberapa kejadian sebelum ini mangsa akan ditemui dalam tempoh dua atau tiga jam namun kejadian ini sudah mencecah 40 jam,” ujarnya.

Selain itu katanya, cabaran yang dihadapi anggota SAR kerana terdapat terlalu banyak laluan keluar dan masuk buat pendaki
di bukit berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan cuba mendapatkan maklumat daripada klinik berhampiran jika mangsa telah turun mendapatkan rawatan atau berada di rumah rakan-rakan yang mengenali mangsa.

“Saya amat berharap jika ada klinik yang mungkin merawat mangsa serta rakan-rakan yang mungkin ternampak lelaki agar segera memaklumkan kepada pihak polis dengan kadar segera,” ujarnya. -SM

(Visited 167 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button