Nasionalpilihan

Zaleha Bujang buat aduan ke SPRM Melaka

Bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin, Datuk Zaleha Bujang membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka di Taman Alai Perdana di sini hari ini.

Ditemani dua rakannya, Zaleha tiba di pejabat SPRM Melaka kira-kira pukul 10.00 pagi dan menyerahkan aduan tersebut kepada seorang pegawai di situ.

Selain menyerahkan aduan, beliau turut ditemubual oleh pegawai terbabit yang berlangsung hampir setengah jam.

Aduan tersebut dibuat kepada SPRM mengenai pemilihan Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin diselubungi politik wang dan ugutan kepada para perwakilan pada pemilihan sayap itu Sabtu lalu.

Zaleha berkata, beliau membuat aduan kepada agensi tersebut meminta pihak terbabit menyiasat dengan terperinci berkaitan salah laku sewaktu hari pengundian pada pemilihan sayap itu.

“Saya ada bukti sahih berlakunya politik wang dan berlaku ugutan kepada para perwakilan sewaktu hari pengundian sayap pada Sabtu.

“Kini terpulang kepada SPRM untuk melihat aduan yang saya kemukakan dan berharap satu keadilan dapat ditegakkan kerana proses pemilihan berjalan tidak sempurna,” ujarnya ketika ditemui di
pekarangan Ibu Pejabat SPRM Melaka di Alai Perdana di sini hari ini.

Pada Rabu, Zaleha telah menghantar surat bantahan kepada Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) di Tingkat 7 Menara Dato Onn tengah hari kelmarin.

Pada aduan kepada JPU itu, Zaleha berkata, pemilihan sayap itu dicemari politik wang daripada salah seorang daripda tiga calon yang bertanding jawatan tersebut.

Beliau juga turut mendedahkan selain politik wang, budaya memaksa perwakilan memilih seorang calon berlaku sewaktu proses pengundian dijalankan pada pemilihan sayap itu.

Katanya, ejen-ejen yang dilantik dalam kalangan penyelaras Wanita Dewan Undangan Negeri (DUN) berkempen bagi pihak seorang calon tetapi turut bertanding jawatan ahli jawatankuasa (AJK)
bahagian.

Pada pemilihan sayap itu menyaksikan saingan tiga penjuru Sabtu lalu, Zaleha tewas mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin apabila memperoleh 27 undi.

Jawatan tersebut dimenangi Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai, Siti Nor Faizah Abd, Azis yang mendapat 294 undi dan seorang lagi calon, Rositah Othman pula mendapat 127 undi. – SM

(Visited 3,376 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button