Sukan

Pasukan dari Bangkok ungguli kejohanan ragbi Perlis

Pasukan Ragbi dari Bangkok Thailand, ‘All For One’ muncul Juara bagi Kategori Lelaki Terbuka pada Kejohanan Ragbi Takaful Ikhlas Perlis Royals 7s 2024 di Padang B Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit, All For One menumpaskan UPM Serdang Angels dari Malaysia 15-12 dan seterusnya membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000 berserta piala. UPM Serdang Angels selaku naib juara menerima RM4,000 dan pingat.

Sementara itu, bagi kategori Wanita Terbuka pula, juara menjadi milik pasukan Perlis Border Girls yang menumbangkan DKI Jakarta dari Indonesia dengan keputusan selesa, 26-5.

Perlis Border Girls menerima hadiah wang tunai RM4,000 dan pingat. Manakala DKI Jakarta mendapat RM2,000 berserta pingat.

Majlis penyampaian hadiah kepada semua para pemenang kejohanan yang dipertandingkan mengambil sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Tuanku Raja Perlis Ke-81 itu disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Berangkat sama ialah anakanda Baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Kejohanan ini dianjurkan oleh Persatuan Ragbi Perlis dengan kerjasama Takaful Ikhlas Berhad, Majlis Sukan Negeri Perlis, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Perlis dan melibatkan 12 pasukan lelaki dan 5 pasukan wanita.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan agar penganjuran kejohanan seumpama ini wajar diperbanyakkan lagi melibatkan sukan-sukan lain juga di negeri ini dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan sukan sempena kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 yang sedang rancak berlangsung sekarang.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button