Nasionalpilihan

Pasar Terapung tarikan baharu di Sungai Melaka

PASAR Terapung akan menjadi produk pelancongan baharu yang akan diperkenalkan oleh Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) mulai tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Datuk Murad Husin berkata, idea untuk mewujudkan produk baharu itu berdasarkan contoh yang terdapat di dalam dan luar negara seperti di Bangkok dan di Bandung, Indonesia.

Menurutnya, pasar terapung yang terdapat di negara luar telah berjaya menarik ramai pelancong untuk berkunjung ke negara berkenaan.

Justeru katanya, kelainan yang akan ditampilkan pasar terapung yang akan beroperasi di Sungai Melaka berhampiran Taman Lagenda dekat sini membolehkan pelancong membeli pelbagai barangan sama ada dari darat atau di sungai tersebut.

“Di Melaka kita cuba cari pendekatan yang berbeza dengan keutamaan menjual pelbagai produk keluar usahawan negeri ini ada makanan masyarakat Portugis, Chetti, Baba dan Nyonya di atas bot termasuk jualan-jualan produk kering.

“Kelainan pasar terapung ini apabila kita membenarkan dari darat boleh beli dan Bot Melaka River Cruise boleh berhenti bagi membolehkan orang ramai membeli barangan yang dijual di atas bot tersebut.

“Kita sasarkan pembukaan pasar terapung di Taman Lagenda dijangka tahun depan bersempena dengan sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” ujarnya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bangunan Baharu PPSPM di Pengkalan Rama yang telah dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, di sini malam tadi.

Antara yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari.

Mengulas lanjut Murad berkata, pihak PPSPM sedang mengadakan rundingan sebuah syarikat yang akan memajukan pasar terapung berkaitan isu-isu teknikal termasuk ke dalaman sungai di Taman Lagenda.

Ujarnya, banyak infrastruktur perlu diambil kira termasuk menyediakan bot berbumbung kepada peniaga termasuk tempat orang hendak menjamu selera dan sebagainya.

Katanya, pihaknya menyasarkan pelancaran pasar terapung itu sempena Sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) nanti. – SM

(Visited 127 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button