Berita

Pasangan suami isteri johan tilawah al-Quran peringkat negeri Perlis

Pasangan suami isteri tidak menyangka mereka berdua akan merangkul gelaran johan qari dan qariah pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat negeri Perlis yang berlangsung di Dewan Warisan pada malam tadi.
Pasangan tersebut, Mohamad Anas Abdul Hadi, 31, seorang pensyarah dalam bidang Usuludin di Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis dan isterinya Nor Husna Mohammad Salleh, 30, seorang guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) di Pulau Pinang.Mohamad Anas berkata beliau merasa terharu kerana ini merupakan kejayaan manisnya bergelar johan qari dan qariah bersama isterinya.

“Ini merupakan kejayaan saya yang ketiga. Saya pernah merangkul johan pada 2017 dan 2018. Saya berharap pada peringkat kebangsaan nanti saya boleh buat yang terbaik untuk Perlis,” katanya kepada Bernama di sini malam ini.

Sementara itu, Nor Husna berkata beliau tidak menyangka dapat menjadi johan bersama suaminya dan ini merupakan kejayaan keduanya selepas turut menjadi johan qariah pada tahun lepas.

“Sebelum ini saya juga pernah menjadi johan di Pulau Pinang pada 2013 dan 2016 dan tak sangka suami saya juga johan, menewaskan peserta hebat yang lain,” katanya.

Pasangan suami isteri ini membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta hadiah iringan disampaikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Mereka akan mewakili negeri Perlis ke peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Sabah pada 13 hingga 21 Feb depan.

— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button