Uncategorized

Tiada pertuduhan berhubung video intim berhubung badan songsang Sandakan

Peguam Negara Tommy Thomas mengumumkan bahawa tiada sebarang pertuduhan akan dibuat berhubung video berhubungan badan songsang dikaitkan dengan ahli politik.

Dalam kenyataan media itu Tommy berkata, pakar forensik Amerika Syarikat gagal mengenal pasti individu adegan video itu kerana ia beresolusi rendah.

Dipercayai merujuk kepada klip video seks yang didakwa melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

“CyberSecurity Malaysia telah membuat kesimpulan walaupun video-video tersebut adalah tulen, pengecaman wajah tidak dapat dipastikan kerana resolusi rakaman video yang rendah yang mana analisis telah dijalankan.

“Disebabkan oleh dapatan yang tidak konklusif tersebut, PDRM telah menghantar untuk dianalisis secara bebas oleh pakar forensik di AS. PDRM menerima keputusan analisis pada bulan Disember 2019.

“Laporan yang bebas ini mengesahkan dapatan CyberSecurity, antara lainnya, ‘kegagalan untuk mengenalpasti individu-individu di dalam video tular tersebut adalah disebabkan resolusi yang rendah dan kualiti video-video dan rangka (frames) video yang sedikit untuk membolehkan suspek dilihat dengan jelas,” katanya.

Kata Tommy, susulan itu, timbalan pendakwa raya telah sebulat suara mengesyorkan kepadanya bahawa tiada pertuduhan boleh dibuat berhubung dengan video berkenaan.

“Saya telah menerima syor tersebut dan membuat keputusan tidak mendakwa mana-mana pihak,” katanya.

Klip video intim itu mula tersebar pada 11 Jun 2019 menerusi beberapa kumpulan Whatsapp yang disertai petugas media.

Ia didakwa dirakam di Hotel Four Point, Sandakan pada 11 Mei lalu, iaitu ketika berlangsungnya pilihan raya kecil (PRK) Sandakan.

Pada hari berikutnya, dalam satu siaran video, Haziq mengaku terlibat dalam rakaman video itu, dan mendakwa Azmin merupakan individu yang bersamanya dalam klip video tersebut.

Azmin konsisten menafikan terlibat dalam rakaman dan aktiviti seks dalam video tersebut, dan menuduh dakwaan ke atasnya sebagai usaha memusnahkan kerjaya politiknya.

Thomas berkata sejak 13 Jun, Jabatan Peguam Negara (AGC) bekerjasama dengan polis dalam meneliti kertas siasatan berhubung klip video intim yang disiasat di bawah 377B dan 377D Kanun Keseksaan.

Kata Thomas, protokol penyiasatan telah diikuti, dan ramai saksi ditemu bual oleh PDRM bagi memastikan fakta berhubung video itu selain tangkapan serta reman juga dibuat terhadap beberapa saksi berkaitan sepanjang penyiasatan.

Jelasnya juga, terdapat pelbagai keadaan menyumbang kepada kelewatan dalam melengkapkan siasatan kes itu, terutamanya masa yang diambil bagi memuktamadkan laporan forensik.

Ini termasuklah kekangan dan prosedur kerajaan yang perlu ditempuh dalam mendapatkan kelulusan kewangan tambahan bagi membolehkan PDRM melengkapkan penyiasatan.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Thomas turut merujuk laporan analisis yang dibuat oleh “orang persendirian tanpa diminta” kepada PDRM.

Thomas dipercayai merujuk kepada laporan analisis yang diserahkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Nor Adam.

Kata Thomas, analisis laporan yang diserahkan Lokman mengesahkan dapatan laporan CyberSecurity dan pakar forensik luar, bahawa pengenalan identiti tidak boleh dibuat secara konklusif berdasarkan analisis pengecaman wajah.

Bagaimanapun, Thomas berkata, selaras dengan amalan biasa, penyiasatan boleh dibuka semula jika dan apabila keterangan baru berhubung kes itu diperolehi.

(Visited 249 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button