Pas tak kedekut, tak tamak meminta – Tuan Ibrahim
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kekuatan perjuangan Islam hanya terhasil apabila semua anggotanya memahami dan mendukung keputusan yang dibuat oleh jemaah, lebih-lebih lagi dalam perkara bersifat strategi.
Namun, katanya, Pas sudah pernah menempuh pengalaman pergolakan luar biasa berikutan terdapat segelintir pemimpinnya yang membantah hingga bertindak keluar parti setiap kali keputusan besar dibuat.
Beliau berkata, hal tersebut mengajar betapa pentingnya ikhlas dalam perjuangan serta perlunya walak diberikan kepada keputusan parti.
“Alhamdulillah, sama ada di waktu kalah, tidak memerintah atau waktu kita sebahagian daripada kerajaan yang memerintah, Pas terus istiqamah dengan dasar Islam yang menjadi nadi menghidupkan parti,” lapor Harakah.
Beliau berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Pas Kawasan Pekan Kali Ke-32 di Dewan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Kompleks Pas Pekan, Kampung Permatang Pasir, di Pekan baru-baru ini.
Tuan Ibrahim mengukuhkan hujahnya dengan sikap keterbukaan Rasulullah S.A.W. terhadap pandangan para Sahabat R.A dalam pemilihan tapak Perang Badar, namun walak dan patuh setelah keputusan ditetapkan.
“Dalam berorganisasi, pandangan Presiden, pimpinan Majlis Syura adalah yang perlu kita patuh walaupun kita rasa tidak berpuas hati dengan sesuatu keputusan,” jelas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.
Apatah lagi Pas katanya, akan berhadapan PRU15 di mana keputusan yang sangat seni dan halus berkaitan mesti dibuat dan dalam realiti politik kini menuntut sikap bertolak ansur yakni tidak kedekut memberi, tetapi tidak tamak meminta.
Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air itu turut mengingatkan mengenai golongan tercicir dari perjuangan apabila seronok dengan jawatan, gaji dan elaun hingga mereka menyelisihi pendirian parti.
Pada kesempatan itu, Tuan Ibrahim yang tampil dengan busana baju Melayu ungu merasmikan pecah tanah pembangunan SRITI Al-Husna dan usul berkaitan telah dibentang bahas serta lulus pada MAT ini. – SM