PolitikPRK

Pas bantu BN di Kimanis, yakin UMNO letak calon sesuai

Pas menyatakan sokongan dan akan membantu kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen Kimanis.

Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan berkata, Presiden Pas, Abdul Hadi Awang akan hadir pada majlis pelancaran jentera BN pada 1 Januari depan.

“Di samping itu Pas akan menghantar pimpinan kanan parti terutama dari Sabah dan Sarawak untuk menghadiri hari penamaan calon pada 4 Januari 2020 sebagai sokongan kepada calon pembangkang dari BN.

“Pas juga akan menggerakkan jentera pilihan raya terutamanya dari kawasan-kawasan di Sabah untuk turun membantu calon BN dalam PRK ini bagi memastikan Kimanis kekal di tangan Pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan.

Takiyyuddin berkata persetujuan agar UMNO bertanding di kerusi itu dicapai berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu yang memihak kepada calon daripada parti itu, Anifah Aman.

“Pas yakin UMNO akan meletakkan calon yang paling sesuai sebagai langkah mempertahankan kerusi yang dipegang oleh BN sekian lama.

“Kemenangan BN dalam PRK Kimanis adalah amat penting bagi menguatkan lagi suara pembangkang di peringkat nasional sebagai ‘semak dan imbang’ (check and balance) khususnya dalam isu-isu melibatkan kepentingan rakyat dan Negeri Sabah,” katanya.

Pada 14 September lalu, Pas dan UMNO memeterai Piagam Muafakat Nasional yang antara lain menggariskan matlamat kerjasama – atau taawun siyasi – antara dua parti itu.

Ia selepas kerjasama tidak rasmi dua parti itu membawa kemenangan dalam tiga PRK berturut-turut iaitu di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.

PRK Kimanis diadakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan keputusan PRU14 bagi kerusi parlimen itu.

Sehubungan itu kemenangan Anifah di kerusi berkenaan dibatalkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK berkenaan pada 18 Janunari tahun depan dan tarikh penamaan calon pada 4 Januari manakala pengundian awal pada 14 Januari.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button