PolitikPRK

YB, gula-gula Kimanis, Velfire dan Maszlee

AKU YB atau kau YB? Ungkapan itu sangat popular kini apabila seorang YB dari Melaka bergaduh dengan para pengundinya selepas dipilih sebagai Yang Berhormat atau YB berhubung isu jalan pintas yang dibina di kawasan perumahan.

Tidak berhenti setakat itu YB berkenaan turut menjadi bahan tular apabila menceritakan tentang babi di Melaka dan menggunakan panggilan beliau bagi babi.

Itu kisah di Melaka negeri yang menjadi tanah tumpahnya pahlawan Hang Tuah dan lima bersaudara.

Tidak kurang popularnya ialah seorang lagi pahlawan Pakatan Harapan yang diberi gelaran Panglima Kasut Hitam iaitu Maszlee Malek yang bertanggungjawab kepada Kementerian Pendidikan.

Iaitu sebuah kementerian yang sangat besar dan penting. Kementerian berkenaan agak tenang ketika dikendali mantan perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Selebihnya menteri pendidikan menjadi tumpuan kemaharan orang ramai, termasuklah mantan timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini menjadi Menteri Dalam Negeri bagi kerajaan baharu.

Menteri setengah masak seperti Maszlee tentulah tidak akan mampu menangani dan merancang dengan baik kementerian yang maha penting itu.

Akhirnya dia diundi dua tercorot oleh media kesayangannya iaitu Malaysiakini dan sehari sejurus itu dia didesak meletakkan jawatan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Walaupun Maszlee menggunakan ayat yang berbunga-bunga sementelahan dia dari parti bunga, tetapi ayatnya lebih kepada sindiran kepada Dr. Mahathir yang mendesak beliau meletakkan jawatan.

Apakah dosa maha besar hingga keputusan itu diambil hanya Tuhan, Dr. Mahathir dan Maszlee yang tahu. Yang lainnya boleh membuat pelbagai andaian termasuk kegagalan Maszlee mengendalikan kementerian dan menimbulkan banyak masalah termasuklah dengan kroni-kroni yang banyak menyumbang pada pilihan raya yang lalu.

Sama juga keputusan Maszlee mengharamkan Utusan Malaysia daripada dilanggan di semua sekolah dan pejabat berkaitan kementeriannya dibuat tanpa memikirkan ribuan petugas akhbar itu akan kehilangan punca pencarian apabila akhbar itu gulung tikar.

Ada juga yang mengatakan kenapa Utusan terlalu bodoh sehingga tidak mampu bersaing sendiri dan menjual akhbar berkenaan.

Sebenarnya yang menuduh itulah sebenarnya sangat naif dan bodoh. Industri persuratkhabaran memang merosot di seluruh dunia dan ia bukan lagi perniagaan yang menguntung seperti 10 tahun lalu.

Bagaimanapun dengan langganan kerajaan serta iklan ia hanya dapat bertahan dengan nyawa-nyawa ikan.

Apatah lagi Utusan yang dikaitkan dengan UMNO dan banyak membuat kerja-kerja kotor politik pastinya diboikot oleh pembaca yang tidak bersefahaman.

Orang yang menuduh Utusan bodoh juga tidak tahu bahawa ratusan juta bayaran lagi tertangguh bagi projek tablet guru yang dianugerahkan oleh kerajaan terdahulu kepada Utusan.

Bukti jualan akhbar sedang merosot, tanyalah akhbar Berita Harian adakah jualan mereka meningkat apabila Utusan gulung tikar? Tentulah tidak.

Pelbagai inisiatif diambil oleh Maszlee tetapi beliau akan dikenang sebagai menteri kasut hitam kerana menggantikan kasut sekolah putih kepada kasut hitam.

Kesilapan Maszlee beliau seorang ahli akademik dan apabila terjun ke dunia politik, beliau terlebih berpolitik sehingga menjadi bulan dan bintang kepada pengundinya termasuk memansuhkan tol di Simpang Renggam iaitu kawasan beliau.

Untuk menyalahkan beliau sepenuhnya juga tidak wajar kerana beliau juga nescaya percaya formula yang digarap pemimpin hebat mereka untuk menurunkan harga minyak, menghapuskan PTPTN dan menghapuskan tol.

Pak Wan kereta terbang iaitu Menteri Pembangunan Usahawan kini menjadi sasaran kerana diundi tercorot di dalam senarai Malaysiakini. Jika dilihat daripada pengundian itu jelas menunjukkan semua menteri dari Bersatu tidak berguna kerana tempat terbaik iaitu Muhyiddin sendiri adalah lebih corot daripada menteri DAP Kulasegaran.

Cerita kereta terbang belum selesai, tiba-tiba para menteri diluluskan untuk diberi kereta mewah Velfire dan syarikat yang diberikan kontrak dikatakan adalah milik kroni perdana menteri.

Pada masa yang sama perdana menteri, menteri kewangan dan jemaah menteri lagi bersungguh-sungguh kewangan negara dalam keadaan kritikal kerana hutang ditinggal kerajaan lampau terlalu besar dan rakyat digesa berjimat cermat.

Pelbagai bantuan dan elaun untuk kakitangan kerajaan dirancang dipotong dan cukai-cukai baharu diperkenalkan bagi mengumpulkan pendapatan negara selain menjual pebagai aset di dalam dan luar negara.

Syarikat-syarikat milik kerajaan juga ditutup dengan alasan tidak menguntungkan dan yang anehnya semuanya berkaitan dengan orang Melayu dan Islam.

Mara dan Tabung Haji antara yang dijadikan sasaran, sedangkan sebelum ini semua berjalan seperti biasa dan tiada masalah.

Ketika rakyat tidak senang dengan kerajaan hari ini, kini Datuk Seri Shafie Apdal terpaksa melalui pilihan raya kecil di Kimanis selepas kemenangan Datuk Seri Anifah Aman dibatalkan oleh mahkamah.

Sabah sangat berbeza kerana Shafie menerajui parti sendiri iaitu Warisan dan jasa beliau banyak kepada penduduk setempat, walaupun terdapat cakap-cakap parti Bersatu yang baru bertapak di negeri di bawah bayu itu sedikit sebanyak menimbulkan rasa tidak senang Shafie.

Oleh itu Shafie perlu membuktikan beliau benar-benar mendapat sokongan rakyat dengan ujian paling utama sejak menjadi ketua menteri iaitu memenangi pilihan raya kecil Kimanis.

Jika tidak partinya dan kempimpinan beliau akan diasak dan dipertikai oleh parti komponen lain yang sentiasa mengintai kelemahannya.

Pastinya isu tol dan banyak lagi tidak akan berpengaruh kepada pengundi di Kimanis, tetapi isu setempat akan lebih menjadi perhatian.

Pemimpin akan memilih pemimpin yang banyak berjasa dan membantu mereka selama ini. Jadi tidak hairan hari ini telah tular gambar hadiah dalam bentuk motosikal, hamper dan peralatan elektrik diangkut ke Kimanis untuk diagihkan kepada penduduk di Kimanis sebagai gula-gula pilihan raya.

Menteri pula mula mengumumkan pelbagai projek termasuklah lebih banyak balai bomba akan dibina di Sabah. Taktik ini telah lama dipakai oleh kerajaan terdahulu dan ia hanya ditiru sahaja, walaupun pada pilihan raya kecil sebelum ini ia tidak berkesan.

Dari Cameron Highlands hingga ke Tanjung Piai rakyat menunjukkan mereka sudah jelak dengan gula-gula pilihan raya.

 

 

 

 

(Visited 187 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button