Hiburan

Paparan realiti kehidupan jadi permainan emosi dalam Petaka

KALAU melihat kepada poster filem Petaka yang ditayangkan di Astro First ini, pasti ramai yang menjangkakan bahawa ianya adalah sebuah filem seram.

Tapi yang sebenarnya filem ini bukanlah bergenre seram. Sebaliknya, filem ini mencerminkan realiti sebenar dalam kehidupan sebahagian rakyat kita.

Realiti bagaimana seseorang itu akan mencari jalan mudah untuk lari daripada kemiskinan sehingga terlibat dengan perkara yang salah.

Ada dua watak sebenarnya yang ditunggu iaitu Mak yang dilakonkan Wan Maimunah dan Nabila Huda sebagai Ima.

Dua pelakon ini adalah nama yang besar dalam industri lakonan negara dan ternyata, kedua-duanya berjaya membawa watak mereka.

Wan Maimunah macam biasalah, linangan air mata adalah satu kemestian. Mimik muka dan rintihan dalam setiap dialognya benar-benar menyentuh hati penonton.

Menariknya Nabila Huda pula ialah bila dia menenggalamkan sedikit auranya dan ini sekaligus memberi ruang kepada pelakon seperti Azman Ahmad yang membawa watak Sham lebih menyinar.

Azman yang menjadi teraju utama filem ini dilihat begitu selesa dengan wataknya. Malah, dengan loghat utara yang digunakan menjadikan watak Sham begitu dekat dengan penonton.

Begitu juga dengan kehadiran PU Azman yang membawa watak Haziq. Ingatkan nak bawa watak alim, rupanya memang lain benar karakter PU Azman.

Daripada segi jalan cerita sebenarnya agak tipikal. Kisah berkenaan seorang yang berada dalam kesusahan dan berusaha untuk keluar daripada zon tersebut.

Cuma, ada beberapa plot twist yang berjaya dibawa dengan baik. Kalau dapat dikuatkan lagi plot penceritaan bagi setengah jam yang pertama filem tersebut pasti akan lebih menarik.

Genre ini juga boleh dikategorikan sebagai genre yang berat. Daripada mula hinggalah ke akhir, memang kebanyakannya adegan boleh dikategorikan sebagai serius.

Kalau dapat ditonjolkan sedikit elemen komedi menerusi watak dalam filem ini mungkin dapat bermain dengan lebih banyak emosi penonton.

Sebuah garapan yang baik daripada pengarahnya, Azhari Zain. Cuma yang sayang sekali ialah filem ini tidak dapatkan ditontonkan di pawagam kerana pandemik Covid-19. -SM

(Visited 322 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button