Nasional

Pan Borneo mesti disiapkan

Eksklusif

PROJEK Lebuh Raya Pan Borneo yang kini terbengkalai mesti disiapkan untuk bukan sahaja demi manfaat penduduk Kimanis malah berupaya menangani  impak ekonomi dari perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan menjelang 2024.

Bercakap dalam satu pertemuan  dengan Suara Merdeka hari ini, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat Sabah serta Sarawak boleh membayangkan limpahan ekonomi jika Pan Borneo menjalar dari bahagian hujung kedua-dua negeri itu sebelum dihubungkan terus ke Kalimantan.

“Jadi, impak ekonomi kepada Sabah dan Sarawak itu besar sekali. Tapi Pan Borneo mesti disiapkan.

“Sebab duitnya (kos projek) dari Pusat, cuma apabila kita laksanakan, projek Pan Borneo ini kita beri kuasa kepada kerajaan negeri (Sabah) untuk tentukan kaedah pelaksanaannya.

“Salah satu kaedah ialah projek yang diberi rakan kongsi terbukti ada  yang berwibawa antaranya projek bina jalan raya yang begitu lancar sekali.

“Impaknya cukup besar misalnya yang di Sarawak, jalan dari Kuching ke Teluk Melano sudah siap.

“Teluk Melano yang kini menjadi sebuah  resort baharu dengan setiap minggu penuh sesak orang ramai dahulunya terputus hubungan dan sebagainya tetapi sekarang  disebabkan ada empat lorong ke teluk itu, maka tempat tersebut menjadi kawasan rekreasi serta pertumbuhan baharu.

“Dengan itu, rakyat tempatan dapat untung terlebih dahulu. Dia jual macam-macam, boleh buat homestay (inap desa) serta macam-macam faedah diraih.

“Begitulah kesan Pan Borneo jika siap kepada rakyat. Impak   sosio ekonominya besar termausk nilai tanah melambung naik. Tetapi sekarang terbengkalai,” kata Najib di Kota Kinabalu sebelum bergerak ke Kimanis untuk  berkempen membantu jentera BN.

Pemindahan ibu negara Indonesia  dijangka membawa kemakmuran ke wilayah Kalimantan, sekali gus  membawa tempias kemakmuran ke Sabah dan Sarawak.

Impak pertumbuhan Kalimantan akan menjadi lebih besar sekiranya wujud jalinan perhubungan darat, udara dan maritim yang baik antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan.

Kesan ini boleh diperhatikan menerusi kemasukan komuniti peniaga dan pelancong yang akan menjadikan bandar-bandar di Sabah seperti Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu dan Semporna sebagai pintu masuk atau tempat transit mereka sebelum meneruskan perjalanan ke ibu kota Indonesia yang baharu itu.

Mengenai impak Pan Borneo di Kimanis, jelas Najib, apabila siap lebuh raya berkenaan, masa perjalanan ke Kota Kinabalu dapat disingkatkan ke setengah jam sahaja.

“Bayangkan dalam 30 minit  macam-macam kegiatan ekonomi  dapat dilakukan. Pelabur pun boleh bina kilang di sana sebab perhubungan  sudah dekat dengan  Kota Kinabalu.

“Justeru tang paling dekat tentunya projek Pan Borneo dan apabila saya sebut  pada orang Kimanis, saya boleh lihat reaksi orang ramai, mereka bertempik-tempik.

“Maknanya ia suatu projek yang benar-benar membawa perubahan dan manfaat  besar kepada Kimanis,” kata beliau. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button