EkonomiNasional

Pakej Pemulih percepat revolusi ekonomi digital – Saifuddin

Pakej ini juga cepatkan kemenangan kekang Covid-19

PAKEJ Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam disambut baik dan memberi sokongan secara langsung kepada rakyat serta mengukuhkan sistem kesihatan dan program imunisasi kebangsaan dalam saat penting kita mengharungi cabaran krisis kesihatan ketika ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Datuk Saifuddin Abdullah berkata,  kementeriannya terlibat secara langsung dalam pelaksanaan dua daripada tiga fokus utama Pemulih iaitu:
-Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat dan Menyokong Perniagaan dan memberi fokus kepada kesalinghubungan internet, keusahawanan digital, kelangsungan industri kreatif, serta kesihatan mental

-Syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama iaitu Celcom, Digi, Maxis, Telekom Malaysia dan U Mobile telah bersetuju untuk sekali lagi melanjutkan perkhidmatan pemberian 1 gigabit data harian secara percuma bermula 1 Ogos sehingga 31 Disember 2021.

Kemudahan yang dianggarkan bernilai RM500 juta ini akan memberi manfaat kepada 44 juta pelanggan berdaftar.

Beliau berkata, melalui Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK), kerajaan mensasarkan sekurang-kurangnya 800,000 usahawan untuk menerimaguna pendigitalan dan seterusnya terlibat aktif dalam ekonomi digital.


“KKMM juga melalui kempen Shop Malaysia Online dan Go-eCommerce Onboarding bersama-sama pemain industri dan platform-platform e-Dagang, mensasarkan manfaat kepada lebih 300,000 peniaga mikro dan PKS daripada pelbagai kumpulan dengan peruntukan sebanyak RM200 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama, kata Saifuddin, sejajar dengan perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 (4IR) dalam pertanian, Program Digitalisasi dan Transformasi Sektor Pertanian atau Digital AgTech dengan usaha sama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Pertubuhan Peladang Kawasan akan melatih 250 usahawan tani khususnya di luar bandar untuk beralih ke platform ekonomi digital.

Beliau berkata, kedua-dua inisiatif ini diharap mampu meningkatkan hasil perniagaan dan penjualan secara dalam talian untuk menjana sumber pendapatan yang lebih lumayan.

“Manfaat Pemulih akan turut dirasai oleh penggiat industri kreatif negara dengan peruntukan sebanyak RM100 juta melalui jabatan serta agensi-agensi di bawah KKMM.

“Ia seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MyCreative Ventures (MyCV), Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

“Semua ini bagi melaksanakan 13 inisiatif utama dalam bentuk kemudahan pembiayaan, pembangunan kapasiti, akses pasaran dan promosi serta produksi di televisyen dan radi,” katanya.

Beliau juga berkata dalam kenyataan yang sama, inisiatif ini mensasarkan lebih 8,000 penerima manfaat daripada pelbagai bidang antaranya penyanyi, pemuzik, pelakon, penulis skrip, pencipta lagu, penggiat teater, artis seni persembahan, syarikat penerbitan dan kru produksi dan teknikal di belakang tabir.

Jelas Saifuddin lagi, dianggarkan juga sebanyak 35,000 pekerjaan bakal diwujudkan dalam industri ini. Peruntukan ini juga akan digunakan untuk meneruskan program-program di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) yang sedang dilaksanakan sejak bulan Februari 2021.

“Seramai 11,460 tenaga kerja di bawah syarikat-syarikat produksi penerima Dana Kandungan Digital FINAS bakal menerima caruman perlindungan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO melalui Inisiatif Caruman Tenaga Produksi.

“Di samping itu dalam menghadapi situasi yang tidak menentu akibat pandemik Covid-19, kerajaan juga menyedari keperluan sokongan psikososial semasa kita semua menghadapi perang yang belum selesai ini.

“Dalam konteks ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengadakan slot khas kesihatan mental yang disiarkan dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia setiap hari,” jelas beliau.

Saifuddin juga berharap peruntukan sebanyak RM15 juta kepada badan-badan bukan Kerajaan atau NGO sebagai rakan strategik Kerajaan untuk menangani isu-isu sosial seperti kesihatan mental, gelandangan dan masalah sosial lain di peringkat komuniti akan dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat.

“Saya yakin Pelan Pemulihan Negara secara berperingkat yang disokong dengan Pemulih untuk membela kelangsungan hidup rakyat dan kelestarian pelbagai industri yang terkesan akibat pandemik Covid-19 mampu membawa kita keluar daripada pandemik ini,” kata beliau.

Dalam masa yang sama, kita juga perlu mengambil peluang dan kemudahan yang disediakan terutamanya dalam pendigitalan, e-dagang dan industri kreatif untuk terus meningkatkan kemahiran ekonomi digital serta memperkayakan penghasilan karya tempatan, katanya. – SM

(Visited 31 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button