Pak Salleh boleh buka restoran mi kolok ikut SOP
KISAH Pak Salleh yang mengusahakan restoran mi kolok di Kuching, Sarawak, dijadikan contoh oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menerangkan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menerusi PKPB yang sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi mulai Isnin ini, beliau berkata Pak Salleh boleh ke restoran untuk membersihkan alat memasak, menyusun meja dan kerusi, serta membeli stok barang mentah bagi membuka semula perniagaannya.
“Pastikan meja disusun dengan jarak sekurang-kurangnya dua meter antara setiap meja supaya di tengah-tengahnya ada ruang yang agak luas untuk pelanggan dan pekerja lalu, dan ada jarak yang selamat antara pelanggan yang makan di situ.
“Untuk pastikan jarak sosial ketika pelanggan makan, Pak Salleh boleh letak notis di setiap meja hanya satu orang, dua orang atau tiga orang dibenarkan makan bergantung kepada saiz meja.
“Kalau meja kecil, mungkin satu orang atau dua orang sahaja dibenarkan. Kalau meja besar, mungkin tiga orang atau empat orang. Ini Pak Salleh kena tentukan,” katanya dalam perutusan khas Perdana Menteri sempena Hari Pekerja yang disiarkan di stesen-stesen televisyen tempatan, hari ini.
Ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat (PRIHATIN) Tambahan pada 6 April lepas, Perdana Menteri, antara lain menggunakan analogi Pak Salleh bagi membolehkan rakyat memahami mengenai pakej berkenaan.
Muhyiddin berkata Pak Salleh juga perlu membuat garisan di lantai depan kaunter bayaran bagi memastikan pelanggan beratur dengan jarak sekurang-kurangnya satu meter di depan atau di belakang pelanggan yang lain ketika mereka hendak membuat bayaran.
Perdana Menteri menjelaskan Pak Salleh juga perlu menyediakan pensanitasi tangan dan sabun untuk pelanggan selain segera membersihkan meja dengan penyembur pembersih sebelum pelanggan lain duduk bagi menjamu selera.
Muhyiddin berkata Pak Salleh turut perlu menyediakan penutup hidung dan mulut untuk beliau dan pekerja dan memastikan ia dipakai setiap masa.
“Pada hari pertama restoran dibuka, seboleh-bolehnya periksa suhu badan pelanggan sebelum dia dibenarkan masuk ke restoran. Boleh guna alat pengimbas suhu yang sesuai untuk periksa suhu badan pelanggan,” kata beliau.
Selain itu, Perdana Menteri berkata pengusaha restoran berkenaan perlu mencatat nama, nombor telefon pelanggan serta tarikh dan masa mereka datang ke restoran supaya jika ada kes positif COVID-19 yang melibatkan salah seorang pelanggan, pelanggan lain yang datang pada hari itu boleh segera dikesan.
“Jadi, sebenarnya banyak kerja yang Pak Salleh kena buat sebelum boleh buka semula restoran,” kata Muhyiddin sambil menegaskan pemilik restoran, trak makanan dan gerai makan yang lain juga mesti mematuhi SOP sama.
Tambah beliau, jika orang ramai berasa was-was dengan keselamatan, mereka boleh membungkus makanan tersebut.
“Tak perlu makan di restoran. Ini mungkin lebih baik,” katanya.
Muhyiddin turut memberi contoh stesen minyak supaya menambah lebih banyak pensanitasi tangan untuk digunakan pelanggan yang akan bertambah apabila ramai kembali semula bekerja minggu depan.
Beliau berkata bagi pengendali syarikat pengangkutan awam, mereka mesti mengambil tindakan mengawal pergerakan orang ramai bagi mengelak kesesakan di stesen-stesen bas, LRT, MRT dan sebagainya.
— BERNAMA