Rencah Hidup

Diberi janji temu baru dengan pejabat kerajaan kerana silap isi borang online

Pandemik Covid-19 memberi banyak cabaran baharu yang sebelum ini tidak pernah wujud termasuk cara untuk melakukan urusan dengan pejabat kerajaan.

Jika dahulu jika mahu menyelesaikan sesuatu urusan rasmi yang mendesak orang ramai boleh sahaja terus melangkah ke pejabat kerajaan pada bila-bila masa.

Ini termasuk jika mahu menukar nama pada geran tanah di pejabat tanah boleh dilakukan dengan mudah.

Bagaimanapun pandemik Covid-19 telah mengubah cara bekerja di pejabat-pejabat kerajaan dan cara mereka berurusan dengan rakyat.

Kini jika rakyat mahu bertemu dengan pegawai kerajaan bagi menyelesaikan masalah mereka perlu membuat janji temu terlebih dahulu secara dalam talian.

Di sinilah masalah mula timbul terutama kepada orang-orang tua dan orang kampung yang sebelum ini jarang menggunakan teknologi komunikasi atau mempunyai telefon pintar.

Seorang pengguna telah menelefon Suara Merdeka memberitahu masalah yang dihadapinya.

Menurutnya temujanji yang dibuat melalui dalam talian bagi urusan pertukaran nama di Pejabat Tanah Kota Setar sejak tiga minggu lalu telah dibatalkan hanya kerana dia tersalah mengisi borang di ijanji.kedah.gov.my.

Beliau sepatutnya berjumpa dengan pegawai yang bertanggungjawab hari ini namun disebabkan kesalahan yang dilakukan ketika mengisi borang tiga minggu lalu, beliau diarahkan untuk mengisi borang baharu.

Tarikh janji temu baharu diberikan dan beliau dijadualkan bertemu pegawai terbabit bagi urusan pertukaran nama tanah tiga minggu lagi.

“Tiba-tiba tersilap pilihan kena buat sekali lagi. Bayangkan orang tua yang betul-betul nak buat urusan takkan selesaikan masalah. Lebih-lebih lagi orang kampung.

“Kalau macam ini cara kerja pejabat kerajaan tak akan membantu langsung terhadap rakyat. Saya sudah berumur 65 tahun.

“Saya rasa terkilan walaupun sistem yang kita buat nampak canggih tetapi tidak membantu masalah orang tua dan rakyat di kampung,” katanya meluahkan kekesalan.

Menurutnya, urusan yang mahu dilakukan adalah urusan pertukaran nama pada geran tanah yang dibeli dari seorang penduduk kampung untuk dijadikan tanah perkuburan baharu bagi penduduk Kampung Suka Menanti di Alor Setar.

Katanya, sepatutnya pihak berkenaan boleh sahaja berjumpa penduduk dan memudahkan urusan tanpa perlu memberikan tarikh janji temu yang baharu.

Tambah beliau, sebagai orang tua dan orang kampung yang tidak terdedah kepada internet adalah sukar bagi seseorang untuk mengisi borang secara dalam talian tanpa panduan.

“Pejabat tanah tak sampai satu kilometer dari rumah tetapi dalam PKP tak boleh nak masuk ke sana. Semua nak masuk kena ada temujanji. Tak ada temujanji tak boleh masuk.

“Sebagai orang tua nak buat temu janji satu hal. Lepas itu tak boleh nak rujuk pada siapa bila nak isi borang. Kita isi ikut kita punya pemahaman sahaja,” katanya kesal.

Beliau mencadangkan supaya pejabat-pejabat kerajaan yang berurusan dengan rakyat untuk mempermudahkan uruskan terutama kepada orang-orang tua dan masyarakat kampung.

Katanya, orang-orang tua dan orang-orang kampung kebanyakan masih menggunakan telefon ‘cap ayam’ dan bukannya telefon canggih.-SM

 

(Visited 227 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button