Nasionalpilihan

Op Bantu: 120 bakul makanan diserah kepada keluarga yang memerlukan

SEBANYAK 120 bakul makanan telah dan akan diberikan kepada keluarga warga kota termasuk Putrajaya yang terputus bekalan makanan ketika pandemik menerusi Op Bantu.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, pengagihan bakul makanan ini diberikan antaranya kepada golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), golongan yang menerima bantuan daripada Baitulmal dan penduduk yang hilang punca pendapatan semasa tempoh pandemik ini.

“Antara kawasan penduduk yang diberikan adalah di PPA Sri Sarawak, Flat Danau Kota, Kampung Chubadak Tambahan, Pangsapuri Awam Sri Johor, Apartment Putra Ria dan Pangsapuri Putra Harmoni.

“Program ini juga akan disambung pada hari ini dan sebanyak 60 bakul makanan lagi akan diagihkan kepada 60 keluarga seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurut Azman, program ini dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) yang turut dibantu oleh RELA telah berjalan dengan
jayanya.

Jelasnya, bakul makanan ini telah diagihkan terus oleh semua Ketua Polis Daerah Kontinjen Kuala Lumpur secara bersemuka yang turut disertai oleh elemen AMANITA dan anggota RELA.

“Maklumat bagi pengagihan bakul makanan ini telah diterima oleh pihak Polis Kuala Lumpur melalui persatuan penduduk serta telah diselaraskan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya turut mengalu-alukan sumbangan daripada pihak korporat atau NGO yang ingin membantu dengan memberikan bantuan kepada orang ramai yang sangat memerlukan pada masa ini.

Ujarnya, orang ramai juga boleh terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah dan Balai Polis yang berhampiran untuk memohon bantuan sekiranya sangat memerlukan.

“Pelaksanaan Op Bantu ini mencerminkan keprihatinan jabatan dan agensi penguatkuasaan kerajaan dalam membantu golongan yang terkesan akibat penularan COVID-19 dalam negara.

“Semoga dengan inisiatif program seperti ini diharapkan dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh keluarga yang terjejas semasa menghadapi tempoh yang sangat sukar ketika ini,” katanya. -SM

(Visited 37 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button