Nasional

NRES sedia platform kukuh pelaksanaan insentif kewangan konservasi biodiversiti, hutan

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah mengadakan Sesi Townhall Pelaksanaan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) untuk membincangkan mengenai strategi bagi mengukuhkan impak pelaksanaan insentif EFT.

Sesi tersebut dihadiri Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam,  Nik Nazmi Nik Ahmad, dan Ketua Setiausaha NRES, Datuk Dr Ching Thoo a/l Kim bersama dengan lebih 50 tetamu jemputan daripada Pejabat Kewangan Negeri, Unit/Bahagian Perancang Ekonomi serta wakil daripada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan. YB Menteri turut menyempurnakan sesi penyerahan Surat Peruntukan EFT tahun 2024 kepada wakil Kerajaan Negeri.

Semasa sesi tersebut, Nik Nazmi menekankan keperluan Kerajaan Negeri untuk memanfaatkan peruntukan EFT secara optimum serta menggariskan beberapa pendekatan baharu bagi meningkatkan impak pelaksanaan EFT.

Ini termasuk melaksanakan projek konservasi biodiversiti dan hutan berskala besar dan lebih berimpak melalui pendekatan blended finance iaitu mobilisasi kewangan tambahan daripada Kerajaan Negeri dan rakan strategik selain peruntukan EFT; mengukuhkan kriteria pengagihan EFT dengan memberi penekanan kepada aspek kualiti dan keberhasilan; dan menyediakan insentif tambahan di bawah EFT kepada Negeri yang meminda Enakmen Perhutanan masing-masing supaya selari dengan Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022.

Beliau turut menyambut baik cadangan dan pandangan Kerajaan Negeri ke arah menambah baik pelaksanaan EFT serta berharap agar kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dapat diperkukuhkan untuk meningkatkan lagi keberkesanan dalam usaha konservasi biodiversiti danperhutanan.

EFT merupakan satu bentuk insentif tambahan kepada Kerajaan Negeri yang telah diperkenalkan pada tahun 2019 bagi menggalakkan Kerajaan Negeri melindungi, memulihara dan mewartakan kawasan perlindungan yang merupakan kawasan penting bagi perkhidmatan ekosistem termasuk kawasan tadahan air dan perlindungan hidupan liar.

Bermula pada tahun 2019 sehingga kini, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM550 juta bagi pelaksanaan EFT termasuk sebanyak RM200 juta pada tahun ini.

Pelbagai projek berimpak tinggi telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui insentif EFT antaranya pemuliharaan kawasan perlindungan dan penambahan kawasan perlindungan baharu; program restorasi; penandaan, pengukuran dan penyelenggaraan sempadan; dan operasi penguatkuasaan.

Pelaksanaan EFT telah menunjukkan keberhasilan di mana sejumlah kira-kira 350,000 hektar kawasan telah
diwartakan sebagai kawasan perlindungan baharu meliputi hampir 90,000 hektar kawasan perlindungan daratan dan lebih daripada 250,000 hektar kawasan perlindungan marin. – SM

(Visited 19 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button