Hiburan

Norrela merajuk ‘lari’ ke Sepanyol

Selepas Moonstruk, lahir pula Wanita Millenium

BUKAN semua yang berkaitan dengan dunia hiburan itu indah. Banyak onak, duri dan pancaroba terpaksa ditempuh namun masih ramai yang ingin melangkah masuk ke industri hiburan tanah air walaupun industri ini tidak begitu berkembang pesat.

Persaingan sesame penyanyi, dengan artis-artis baharu, muda, dan remaja serta artis YouTube menjadi satu cabaran yang tidak boleh dielakkan bagi mereka yang memilih bidang seni suara sebagai kerjaya.

Ada yang menyanyi dan dalam masa yang sama, berlakon. Ada yang berlakon, mencuba nasib menjadi penyanyi dan kalau tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.

Bagaimanapun, tidak semua mereka yang masuk ke dalam industri hiburan, berpaksikan kepada kerjaya sebaliknya disebabkan oleh minat dan bakat yang dirasakan ada pada diri masing-masing. Itulah yang membuatkan individu-individu ini menerobos ke dalam industri hiburan.

Bukan mahu membanding-bandingkan di antara insan bernama Norrela Iznin Abd. Ghani dengan mana-mana penyanyi terdahulu kerana setiap insan seni itu mempunyai iltizam dan semangat untuk meneruskan apa yang diminati.

Norrela bukannya superstar Anita Sarawak. Norrela bukanlah biduanita tersohor seperti insan seni lain tetapi Norrela bersemangat untuk memperkenalkan lagu-lagu dendangannya kepada pendengar yang sudi untuk dihiburkan olehnya.

Anak jati kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini cekal untuk meneruskan langkah sebagai penyanyi. Jika setahun  setengah yang lalu, beliau melahirkan sebuah album debut dalam bahasa Inggeris berjudul Moonstruk.

Menerusi album Inggerisnya itu, Norrela mengharapkan agar lagunya diputarkan di corong radio. Itu harapan yang disimpan oleh Norrela.

Harapan itu tidak pernah padam walaupun agak suram kerana stesen-stesen radio mempunyai pilihan mereka sendiri, lagu manakah yang mahu diputarkan atau dimainkan untuk halwa telinga pendengar.

Semalam, Norrela tekad untuk melancarkan single dalam bahasa Melayu. Single pertamanya itu diberi judul Wanita Milenium, ciptaan Rosli Ahmad, lirik oleh Norrela sendiri.

Kata Norrela, beliau tidak faham percaturan industri ataupun media hiburan tetapi mengharapkan agar diberikan peluang lagu Wanita Milenium itu dimainkan di corong radio.

Sekurang-kurang, kata Norrela, pendengar ada pilihan dan tidak semestinya, pendengar disogokkan dengan lagu-lagu remaja, bercinta, putus cinta dan kecewa.

“Saya menulis lirik sendiri dan itu tidak sukar untuk dilakukan. Kesukaran yang saya hadapi ialah mendapatkan komposer tempatan yang sudi untuk memberikan saya lagu.

“Saya sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk keluar negara bagi proses rakaman. Saya menggunakan studio rakaman di Perth, Australia dengan penerbit yang sama, yang menerbitkan album Moonstruck.

“Hal ini berlaku bukan kerana saya tidak percaya kepada studio rakaman atau penerbit album tempatan tetapi saya selesa bekerja dengan Andy Court,” kata Norrela.

Berfikir sejenak, Norrela berkata, jika tiada tempat baginya di tanah air sendiri, apakah dia perlu lari ke luar negara untuk mengembangkan bakat seninya?

Lari dan merajuk atau memulakan semula langkah di luar negara, kemudian balik ke Malaysia untuk mencari sudut dalam industri hiburan tanah air.

“Rasa agaknya biarlah saya ke Sepanyol. Mungkin di negara luar, masyarakatnya boleh menerima kehadiran saya.

“Saya akan ke Sepanyol untuk menyertai Festival Muzik di sana pada 30 dan 31 Mei nanti,” katanya.

Kata Norrela, beliau terfikir untuk memulakan semula langkah ‘pertamanya’ di bumi Sepanyol sebagai penyanyi dan cuba mencipta nama di negara barat itu.

Ujarnya, mungkin nasibnya akan lebih baik di Sepanyol dan dapat diterima oleh khalayak pendengar muzik di sana.

Kemudian, beliau kembali semula ke Malaysia dan siapa tahu, mungkin nasibnya berubah menjadi lebih baik dengan penerimaan peminat di Malaysia.

“Memang terfikir nak ke luar negara, menyanyi di sana. Apabila nama sudah dikenali, balik ke Malaysia dan mungkin peminat di sini dapat terima.

“Apapun ia sekadar apa yang terbuku dalam hati dan perasaan saya sahaja,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button