Politik

Nombor 39 padam: Pengasas DAP wariskan parti

Lim Kit Siang bersara

LIMA puluh enam tahun lamanya Lim Kit Siang dengan parti roket DAP. Ini bermakna ketika penulis berusia setahun, beliau mula-mula masuk DAP dan jadi ahli politik.

Dulu kalau sebut DAP, memang payah nak dapatkan bahan berita. Kemungkinan besar tidak dilayan sebab organisasi media tempat penulis bekerja selama 23 tahun, dikatakan oleh DAP mempunyai agenda.

Sedangkan sebagai wartawan, ‘agenda’ kami ialah mendapatkan kenyataan untuk dijadikan bahan berita.

Pernah penulis menghubungi YB Kit Siang di telefon bimbitnya untuk mendapatkan komen tentang senario politik pada tahun 2004.

Jenuh menghubungi beliau dari pukul 10 pagi kerana waktu itulah, tugasan susulan diberikan kepada wartawan di meja am.

Telefon punya telefon, berdering tetapi tidak dijawab. Sekitar tengah hari, tak serik-serik, telefon lagi YB Kit Siang dan beliau jawab.

“Saya dalam meeting. Hubungi saya semula,” katanya ringkas dan terus telefon bimbitnya dimatikan.

Selepas waktu makan tengah hari, telefon bimbitnya terus dihubungi dan kali ini, memang berderet-deret pesanan ditinggalkan sehingga kotak pesanan, penuh.

Akhirnya, pada pukul 10 malam, panggilan penulis dijawab oleh Kit Siang.

“Awak sangat sabar dan tidak putus asa hubungi saya. Saya boleh jawab soalan awak tetapi adakah akhbar awak akan keluarkan kenyataan saya,” soal Kit Siang dalam nada lembut.

Keluar atau tidak berita, itu bukan prerogatif wartawan. Itu hak Ketua Pengarang namun Kit Siang, walaupun dari parti DAP dan tidak mengenali wajah penulis sekalipun, akhirnya menjawab telefon dan soalan daripada seorang pemberita.

Hari ini, DAP dianggotai oleh tiga generasi. Ada dua orang anak YB Kit Siang pun dalam parti. Mungkin cucu Kit Siang kalau cenderung dan meminati politik, akan menjadi anggota DAP.

Kenapa? Sebab DAP dan Kit Siang sememangnya sinonim. Seperti isi dengan kuku. Manifesto DAP dan perjuangan parti, dalam darah Kit Siang.

Perbezaan di antara Kit Siang dengan anak lelakinya, Guan Eng, Kit Siang tetap menyantuni dengan baik wartawan. Ini pengalaman peribadi penulis.

Kini Kit Siang akan diingati sebagai bekas Penasihat parti dan sebagai pengasas DAP, pastinya yang mewarisi parti jangan menjahanamkan parti.

Ketika mengumumkan persaraannya dari arena politik – tidak bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (JTP) DAP dalam Kongres Ke-17, tidak akan mempertahankan kerusi di Parlimen Iskandar Puteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti maka nombor 39 telah dipadamkan.

Selamat bersara, selamat beristirehat YB Lim Kit Siang. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button